Ahmad Zahid Hamidi
PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembatalan program dialog Perdana Menteri bersama badan bukan kerajaan (NGO) hari ini bukan atas arahan beliau atau Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar membuat keputusan itu berdasarkan aspek keselamatan susulan maklumat awal akan berlaku beberapa insiden yang tidak diingini pada majlis bertajuk 'Nothing To Hide' itu.
"Pihak polis mendapat maklumat awal akan berlaku beberapa insiden yang akan menyebabkan sesuatu yang tidak positif walaupun tujuan anjuran majlis itu adalah untuk membuka sesuatu yang tidak patut diselindungkan," katanya kepada pemberita selepas pertemuan bersama ulama Hadis, di sini.
Ahmad Zahid berkata, perdana menteri berdukacita dengan pembatalan dialog itu kerana beliau amat komited untuk hadir tetapi telah diberikan pandangan oleh pihak polis bahawa Najib tidak seharusnya hadir atas faktor-faktor keselamatan.
Ditanya mengenai tindakan terhadap penganjur kerana membuka dewan kepada orang ramai walaupun majlis dibatalkan serta tindakan polis menghentikan ucapan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahmad Zahid berkata perkara itu akan dijelaskan oleh Ketua Polis Negara pada sidang media petang ini.
"... saya hanya menyentuh soal dasar. Soal operasi itu saya serahkan kepada ketua-ketua jabatan di bawah kementerian saya," katanya.
Pejabat Perdana Menteri dalam laman Facebooknya hari ini memaklumkan Najib tidak hadir pada program dialog di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu kerana faktor keselamatan atas nasihat ketua polis negara.
Majlis anjuran Sukarelawan Peguam Malaysia (Sukaguam) itu dijadualkan bermula pukul 10 pagi dengan wakil NGO, aktivis dan orang ramai boleh bertanya kepada Najib mengenai semua perkara termasuk isu-isu kontroversi seperti 1MDB dan urusan pembelian tanah oleh Tabung Haji.
Bagaimanapun pada pukul 10.30 pagi, penganjur membatalkan program itu kerana berlaku kekecohan di luar Dewan Tun Hussein Onn sehingga ada individu yang ditahan polis.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment