Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika memberikan ucapan pada Dialog PM bersama NGO di Pusat Dagangan Dunia Putra
KUALA LUMPUR - "Saya diminta pihak polis berhenti berucap kerana saya dikatakan 'terlalu membuat bising' dalam program hari ini," kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau juga tidak mengetahui bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sudah mengeluarkan arahan supaya membatalkan program tersebut.
"Saya tak tahu arahan dia, saya tak dengar, apa yang saya tahu polis datang kepada saya, minta saya berhenti (bercakap)," katanya kepada pemberita selepas Dialog PM bersama NGO dibatalkan secara mengejut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Forum anjuran Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (Sukaguam) itu dibatalkan di saat akhir selepas Ketua Polis Negara menerusi akaun Twitternya hari ini meminta ia ditangguhkan atas faktor keselamatan.
Walaupun Sukaguam cuba berunding dengan pihak polis, namun forum yang lebih berkisar kepada penjelasan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu terpaksa ditunda ke tarikh lain.
Terdahulu, forum tersebut yang dijadualkan berlangsung pada jam 9 pagi itu diteruskan dengan ucaptama oleh Dr Mahathir selepas Najib tidak muncul selepas sejam setengah menunggu.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir juga berkata kehadirannya pada forum tersebut adalah untuk mendengar sendiri penjelasan Najib berhubung persoalan yang ditimbulkan mengenai beberapa isu termasuk 'kehilangan dana RM42 bilion' oleh 1MDB.
"Sebab itu saya datang dan minta izin supaya saya juga diberi peluang sama dengan Datuk Seri Najib.
"Kalau dia dapat satu jam, saya juga minta satu jam, kalau dia nak jawab soalan, saya juga nak jawab soalan, tapi malangnya Datuk Seri Najib tak dapat datang kerana polis membatalkan perjumpaan ini," ujarnya.
Tambah Dr Mahathir, meskipun beliau dihalang meneruskan ucapan, namun beliau meminta polis membenarkannya bertemu dengan pihak media.
"Saya patuh kepada undang-undang, tetapi saya minta izin supaya saya dapat bercakap dengan media sahaja," jelasnya.
Ketika ditanya tentang kelantangan beliau telah menakutkan Najib untuk muncul pada program tersebut, Dr Mahathir bagaimanapun berkata, tiada apa yang perlu ditakutkan jika Najib boleh beri penjelasan.
"Saya tak boleh mencederakan sesiapa, kenapa perlu orang (Najib) nak takut dengan saya, kamu (media) pun tak takut pada saya," ujarnya.
Bagaimanapun Dr Mahathir hanya beranggapan ketidakhadiran Najib itu kerana beliau sibuk dengan urusan rasmi kerajaan.
"Kita pun tak tahu (kenapa Najib tak hadir), saya fikir dia sibuk, dia mesti ada tugas rasmi yang lebih mustahak berbanding jumpa dengan rakyat," katanya lagi.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment