Saturday, 6 June 2015

‘Beliau akan dilabel pengecut’

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melambai kepada peserta-peserta sebelum beredar dari Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini selepas Dialog Bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Badan-badan Bukan Kerajaan dibatalkan atas faktor keselamatan

KUALA LUMPUR - Lebih 2,000 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghadiri Program Dialog Bersama PM hampa apabila program tersebut dibatalkan saat akhir.

Seawal jam 8 pagi, peserta mendaftarkan diri di kaunter sebelum pintu dewan Tun Hussin Onn, Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) yang dikawal anggota Rela.

Tidak lama kemudian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun Twiternya memaklumkan program itu dibatalkan atas faktor keselamatan.

Status Khalid itu kemudiannya tersebar di dalam dewan dan pengacara majlis, Fiza Shabjahan dan Saiful Nizam Ismail cuba menenangkan peserta yang hadir.

Pada jam 10 pagi, penganjur Pengerusi Sukarelawan Guaman, Datuk Khairul Anwar masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai status program tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sepatutnya dijadualkan tiba pada jam 9 pagi tidak kelihatan.

Sekitar 10.20 pagi, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed memasuki dewan diiringi oleh media dan penyokongnya yang melaungkan "Hidup Tun".

Ahli Gabungan Bekas Pemuda Umno, Noorfaadi Ahmad Din berkata, dia hampa program itu dibatalkan.

"Saya tidak dapat masuk ke dalam dewan kerana ada kekecohan yang berlaku," katanya.

Menurutnya, sepatutnya program ini dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mendengar penjelasan daripada Najib.

"Bagi beliau peluang untuk bercakap supaya isu yang timbul dapat diterangkan," katanya.

Dia berkata, Najib seharusnya diberi peluang untuk mentadbir negara.

"Sekiranya beliau ada melakukan kesalahan, Najib perlu betulkan," katanya.

Presiden Kelab Belia Bintang Terbaik Kajang, Devendran berkata, tujuannya hadir adalah untuk berjumpa dan bertanyakan beberapa soalan kepada Najib.

"Saya kecewa beliau tidak datang kerana majlis ini dibatalkan," katanya.

Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tun Razak, Zaini Zakaria berkata, ketidakhadiran Najib ke majlis itu boleh menimbulkan tanggapan negatif.

"Beliau akan dilabel pengecut. Tindakan ini membuatkan masyarakat tidak percaya kepadanya," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN- Sumber: Sinar Harian 

    No comments:

    Post a Comment