SYAHRIZAL menyarungkan cincin di jari Jojie selepas pasangan itu dinikahkan malam ini. - Foto NSTP
PETALING JAYA: Kakak kepada Ratu Rock negara, Jojie sah menjadi isteri kepada Syahrizal Ismail dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Ara Damansara di sini malam ini.
Jojie atau nama sebenarnya, Rozita Aminuddin menerima mas kahwin RM888 dan wang hantaran RM20,000 serta tujuh dulang.
Jojie kelihatan menitiskan air mata ketika suaminya melafazkan akad nikah yang disempurnakan oleh Jurunikah Mukim Subang, Abdul Halim Abd Rahman.
"Syukur semuanya selamat dan berjalan lancar. Alhamdulillah. Terima kasih kepada keluarga , saudara mara dan sahabat yang sudi hadir," katanya yang kelihatan manis dalam persalinan rona putih ditemani Ella dan ibunya Yang Asmah Long.
Berkongsi kisah pertemuan dengan arjuna hatinya, Jojie, 50, berkata dia mengenali Syahrizal, 36, sejak lebih setahun lalu sebelum lelaki itu menyuntingnya menjadi isteri.
Katanya, Syahrizal yang bekerja sebagai Ketua Pegawai Operasi sebuah syarikat swasta, melamarnya dengan sebentuk cincin pada 11 Disember tahun lalu.
Katanya, sikap jujur dan sabar yang ada pada Syahrizal memikat hatinya serta keluarga.
"Syah tahu dan kenal saya dan saya yakin dia menerima saya seadanya seperti juga saya menerimanya," katanya sambil menguntum senyum.
Syahrizal kala ditanya mengenai suri hatinya itu berkata, Jojie wanita istimewa kerana sangat berdikari selain pandai membawa diri.
"Saya bertuah mengenali Jojie dan yakin dia adalah wanita terbaik buat saya," katanya.
Ella tumpang gembira dan bahagia dengan pernikahan kakak yang juga teman paling rapatnya.
"Jojie banyak berkorban untuk saya dan kini sudah masanya untuk dia merencana hidupnya. Saya akan selalu ada serta gembira untuk Jojie," katanya.
JOJIE pada majlis pernikahannya malam ini. - Foto NSTP
JOJIE diapit Ella (kiri) dan ibu, Yang Asmah. - Foto NSTP
- Sumber: BH Online | 5 Jun 2015
No comments:
Post a Comment