Barisan pelakon filem Darah Panas.
Babak dalam filem Darah Panas.
SELEPAS mempertaruhkan filem Kerat 14 beberapa tahun lalu, pengarah muda, Arjin Uppal kembali dengan buah tangan terbaharunya, Darah Panas.
Apa yang pasti, penulis menjangkakan ramai yang mahu melihat filem kedua Arjin ini.
Masakan tidak, belum pun ditayangkan, filem ini telah melalui beberapa episod kontroversi melibatkan pelakon utamanya, di mana Sharnaaz hampir berdepan tindakan saman.
Manakala Fathia pula heboh diperkatakan berbogel di dalam filem ini.
Namun bagi penulis sendiri yang berpeluang menyaksikan filem terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd ini melihat Darah Panas bukan sebagai sebuah filem yang mempertaruhkan kontroversi dan pelakon terkenal semata-mata.
Ini kerana, filem yang dijayakan oleh Sharnaaz Ahmad, Nur Fathia, Soffi Jikan, Adam Corrie dan Datuk Jalaluddin Hassan ini mempunyai tarikan tersendiri untuk menarik penonton ke pawagam.
Filem ini juga membawa penonton kepada realiti yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini, sama ada tanpa disedari atau tidak.
Ia mengisahkan seorang gadis bernama Syahana yang ingin memburu impian sebagai model Muslimah di ibu kota meskipun mendapat tentangan ibu bapa.
Syahana berkenalan dengan seorang lelaki bernama Fandi melalui laman sosial, dan telah meminta bantuan daripada Fandi bagi mencapai cita-citanya.
Dia sanggup lari dari rumah dan berkunjung ke ibu kota walau pun tidak pernah mengenali Fandi secara bersemuka. Tanpa pengetahuan Syahana rupa-rupanya Fandi berniat menjualnya kepada ketua sindiket pelacuran bernama Cicak.
Sebelum Syahana, ramai lagi wanita naif lain yang telah menjadi mangsa penipuan Fandi sehingga berjaya dilacurkan di tempat Cicak.
Sementara itu, Adi yang juga salah seorang pelanggan Cicak, mempunyai sisi baik kerana mudah simpati dengan wanita yang teraniaya atas tipu helah Fandi.
Termakan pujuk rayu dan tangisan Syahana yang begitu menyesali perbuatannya sehingga terjebak ke kancah pelacuran memacu simpati dan kasih sayang Adi.
Adi yang pada mulanya mahu melanggan Syahana membuat keputusan membantu Syahana melarikan diri dari situ.
Meletakkan Sharnaaz, Soffi, Corrie di dalam satu filem, di tambah dengan judul Darah Panas, pasti akan membuatkan penonton dapat menjangka apa yang akan dihidangkan di dalam filem ini.
Dengan aksi kejar mengejar, pergaduhan, senjata api, menjadi elemen wajib di dalam sesebuah filem aksi dan itu jugalah yang dapat anda saksikan di dalam filem ini.
Biarpun mempunyai sebuah jalan cerita yang menarik, dengan moral yang begitu penting untuk disampaikan, namun dominasi babak aksi dalam filem ini membuatkan kisah Syahana sedikit tenggelam dengan kisah gangster.
Pertaruhan Arjin yang menyelitkan beberapa teknik imbas semula sebelum dicantumkan ke semua kisah pada penghujung filem sebenarnya memberi sedikit kecelaruan mood kepada penonton.
Barangkali jika Arjin menggarap dengan permulaan cerita satu persatu tanpa mencampuradukkan plot, pada pandangan penulis ia mungkin jadi lebih menarik.
Lakonan mantap
Namun itu hanyalah pandangan penulis.
Dari sudut lakonan pula, pemilihan pelakon-pelakon hebat secara tidak langsung menjadikan filem ini hebat.
Masakan tidak, dengan penghayatan lakonan yang berkesan, terutama sekali oleh Sharnaaz dan Fathia membuatkan adakala penonton terleka dengan perjalanan cerita.
Lebih-lebih lakonan berkesan Fathia sebagai Syahana yang akan membuatkan penonton simpati dengan nasibnya.
Manakala pelakon-pelakon lain juga tidak kurang hebatnya dalam menjayakan watak masing-masing.
Cuma lakonan Corrie dan Soffi pula penulis lihat tiada kejutan. Barangkali kerana mereka sering membawakan watak gangster.
Mujur kostum dan rambut Corrie yang dipotong seperti seekor cicak menjadi kelainan buat pelakon itu menjayakan watak gangster.
Bagaimanapun secara keseluruhan, ke semua pelakon memberi lakonan yang cukup mantap dan menjadi sebab juga untuk anda menyaksikan tayangan filem ini di pawagam.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment