Saturday 6 June 2015

Di Maria kekal di Manchester United musim depan


PENYERANG Manchester United, Angel Di Maria akhirnya menamatkan spekulasi mengenai masa depannya apabila memberitahu akan terus kekal di Old Trafford, musim depan.

Pengumuman yang dibuat itu sekali gus menamatkan spekulasinya bersama pasukan itu termasuk dakwaan yang mengaitkan beliau dengan beberapa pasukan sebelum ini termasuk Paris Saint-Germain dan Bayern Munich.

"Saya baru sahaja satu musim dengan United dan tidak dinafikan musim pertama bukan prestasi yang bagus untuk saya.

"Tapi anda kena tahu, musim pertama dengan kelab baru akan menjadi sukar kerana proses kita untuk adaptasi dengan negara lain dan juga persekitaran baru.

"Ketika ini, saya akan beraksi dalam Copa Amerika, dan akan kembali semula ke United musim depan. Saya janji akan melakukan yang terbaik di sana,” kata penyerang asal Argentina itu.

Sebelum ini, timbul desas-desus pemain berusia 27 tahun itu bakal digugurkan dalam skuad Louis van Gaal selepas gagal menyerlah sejak menyertai United dari Real Madrid menerusi yuran perpindahan bernilai 60 juta pound (RM336 juta).

Malah beliau turut menerima kecaman hebat daripada penyokong United selepas hanya menjaringkan empat gol daripada 32 penampilan dalam semua perlawanan.

No comments:

Post a Comment