Saturday 6 June 2015

23 sekolah di enam daerah terjejas akibat gempa - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata 23 sekolah di enam daerah di Sabah terjejas akibat gempa bumi dan khidmat pakar akan digunakan bagi mengenal pasti sama ada bangunan terlibat selamat digunakan sebelum langkah pembaikan dilaksanakan.

Timbalan perdana menteri berkata laporan awal Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah menunjukkan ia membabitkan 16 Sekolah Kebangsaan, enam Sekolah Menengah Kebangsaan dan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di daerah Ranau, Tuaran, Kota Belud, Penampang, Nabawan dan Keningau.

Dalam kenyataan hari ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata kerosakan dikesan pada struktur di bangunan sekolah, kuarters guru, jalan raya dan tanah di sekitar kawasan sekolah.

"Kementerian sedang mendapatkan khidmat pakar dari Unit Forensik Jabatan Kerja Raya untuk mengenal pasti sama ada bangunan-bangunan terlibat selamat digunakan sebelum tindakan pembaikan dibuat," katanya.

Muhyiddin berkata peruntukan mencukupi akan disalurkan segera kepada JPN Sabah supaya kerosakan ini dapat dibaiki supaya tidak menganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah terbabit.

Kementerian Pendidikan, kata Muhyiddin, sedang menunggu laporan penuh daripada JPN Sabah mengenai anggaran kerosakan.

"Keutamaan kementerian ialah untuk memastikan keselamatan pelajar dan guru terjamin dan proses pengajaran dan pembelajaran tidak tergendala apabila sesi persekolahan dibuka semula," katanya.

Beliau berkata sekiranya perlu, pihak kementerian akan menempatkan pelajar yang terjejas ke sekolah-sekolah berdekatan supaya mereka dapat mengikuti pembelajaran seperti biasa.

Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku di Ranau pada 7.15 pagi semalam disusuli gegaran-gegaran kecil sehingga malam tadi.

Gegaran turut dirasai di kawasan lain seperti Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Polis Ranau setakat ini mengesahkan dua kematian akibat kejadian gempa berkenaan yang turut mengakibatkan pendaki-pendaki Gunung Kinabalu dan malim atau jurupandu gunung terkandas sebelum diselamatkan pasukan penyelamat.

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment