Lisa Surihani.
KUALA LUMPUR: Ketiadaan Lisa Surihani untuk membawakan watak Junaidah yang dipegangnya sebelum ini dalam pementasan teater muzikal P Ramlee terbitan Enfiniti Vision Media mengundang tanda tanya kerana siri jelajah teater berkenaan dijadual bermula 28 Ogos depan.
Ketika ini beberapa nama pelakon wanita sudah disenarai pendek untuk membawakan watak itu.
Datin Seri Tiara Jacquelina yang bertindak sebagai penerbit syarikat itu selain membawa peranan Norizan mengakui ketiadaan Lisa Surihani membuatkan produksinya perlu pantas mencari pengganti kerana sesi latihan sudah bermula sejak Isnin lalu.
Tiara yang ditemui sebentar tadi di Panggung Bandaraya mengakui bukan mudah mencari pelakon wanita yang boleh menyanyi dan berlakon pada masa yang sama.
"Beberapa bulan lalu, saya dihubungi Lisa. Dia ada berita baik dan buruk mahu dikongsi dengan saya. Pertamanya dia memaklumkan dirinya sudah hamil dan keduanya dia tidak dapat menyertai produksi kami untuk siri jelajah teater ini.
"Saya sendiri tak mampu memberi reaksi terhadap berita itu. Namun pada masa yang sama, biarpun dia terpaksa mengecewakan saya.... saya gembira dengan berita mengandung itu kerana sudah lama dinantikannya.
"Dia teruja sebenarnya untuk menyertai jelajah ini. Tapi Tuhan memberi dia rezeki yang lebih molek untuk diberi perhatian. Ketika ini memang kami sedang mengenal pasti pelakon mana yang akan membawakan watak yang pernah dipegang Lisa.
"Beberapa nama pelakon dicadangkan dan saya serta produksi termasuk Pat Ibrahim selaku pengarah sedang menelitinya.
"Mencari watak Junaidah biarpun babaknya tidak banyak hanya empat setengah babak sahaja, ia tetap bukan perkara mudah. Pada masa mencari pelakon yang boleh membawakan watak itu sebaik mungkin," katanya.
Teater muzikal P Ramlee Dari Penang Ke Singapura akan bermula Di Pulau Pinang, dipentaskan dari 28 hingga 30 Ogos, diikuti Johor Bahru (4 hingga 6 September) dan Melaka (11 hingga 13 September). Tiket dijual dari harga RM83, RM103, RM153 dan RM203. Layari www.ticketpro.com.my untuk keterangan lanjut.
Teater ini masih mengekal jalan cerita dan skor muzik yang sama namun perlu disesuaikan dengan pentas teater ini yang lebih kompak.
Selepas tiga kali dipentaskan, teater ini mendapat perhatian dan sambutan positif. Ia dipentaskan di KL, Kuching dan Singapura selain pernah memenangi lapan anugerah di acara Boh Cameronian Arts Awards.
- Sumber: BH online
No comments:
Post a Comment