Irmohizam Ibrahim
SHAH ALAM - Susulan masalah air yang dihadapi negeri ini hingga ada anak-anak yang ke sekolah tidak mandi.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datul Irmohizam Ibrahim berkata, bagi mengatasi masalah ini, Kerajaan Selangor perlu segera mencapai kata sepakat dengan kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu tersebut.
Menurutnya, pemimpin negeri ini perlu meletak ke tepi soal politik dan mengutamakan kebajikan rakyat.
"Demi kemanusiaan dan menjelang perayaan yang bakal disambut, lebih-lebih lagi saya melihat penderitaan yang wujud terhadap anak-anak yang tinggal di rumah flat dan sebagainya, sudah tentu saya amat berharap agar kerajaan negeri Selangor melupakan soal politik dan
pandang ke depan dalam usaha untuk segerakan penyelesaian isu air dalam negeri ini.
"Lihat penderitaan mereka (rakyat). Ada anak-anak yang tidak bersekolah sebab tidak ada air nak mandi dan ada juga yang ke sekolah tanpa mandi pun. Ini bulan Ramadan. Apa nasib mereka?," katanya kepada Sinar Online.
Malah katanya, melalui keterbukaan yang dipamerkan kerajaan Persekutuan, sepatutnya sesuatu telah dicapai antara keduanya.
"Ini adalah sangat penting kerana perkara pokok ialah kebajikan rakyat.
"Seharusnya dengan keterbukaan yang ditunjukkan oleh kerajaan Persekutuan yang wujud lebih daripada 30 kali untuk mengadakan rundingan sudah tentunya perlu ada tahap pencapaian di antara keduanya," katanya.
Menyentuh soal isu-isu yang dibangkitkan kerajaan negeri, Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor menasihatkan agar ia diselesaikan pada fasa seterusnya.
"Saya fikir alasan-alasan yang dibangkitkan kerajaan negeri adalah berunsurkan politik. Mereka boleh selesaikan dan kemukakan isu-isu berbangkit itu dalam fasa yang lain.
"Yang penting, asas utama selesaikan isu air dan tiada catuan air untuk rakyat. Sebagaimana yang berlaku di Semenyih dan pernah berlaku di tempat-tempat lain," katanya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment