Sunday, 5 July 2015

Ribut Tropika Linfa bawa banjir ke utara Filipina

Gambar fail kemusnahan berikutan taufan Haiyan yang melanda Filipina pada akhir tahun 2013. - Foto AP

MANILA: Beberapa bandar utara Filipina hari ini dinaiki air selepas ribut tropika Linfa melanda bahagian utara kepulauan itu, di mana agensi bantuan telah pun bersiap sedia menghadapi bencana tersebut.

Ketua pertahanan awam rantau itu, Chito Castro, berkata sekurang-kurangnya 11 bandar pantai telah terjejas akibat banjir dan sungai yang melimpah.

"Hujan lebat, angin kuat. Jalan-jalan utama tidak boleh dilalui. Ada rumah yang dilitupi separuh (dengan air), ada rumah yang dilitupi sepenuhnya," katanya kepada pemberita.

Katanya sehingga kini masih tiada mangsa yang dilaporkan akibat kejadian, namun ia mungkin kerana tumpuan diberikan terhadap usaha menyelamat.

Bekalan api juga dilaporkan terputus di beberapa kawasan besar sebelah utara sehingga menghalang komunikasi.

Angin ribut yang berkelajuan 120 kilometer sejam itu bergerak ke arah barat laut pada kelajuan sembilan kilometer sejam dan dijangka melencong ke arah utara, menjauhi Luzon menjelang Ahad petang.

Ketua pertahanan awam negara, Alexander Pama berkata mereka telah menyiapkan peralatan yang diperlukan sekiranya berlaku pemindahan besar-besaran.

Filipina dilanda kira-kira 20 taufan dan ribut setiap tahun yang kebanyakannya membawa maut.

Antara yang paling teruk yang pernah berlaku adalah Taufan Haiyan, yang melanda kawasan tengah Filipina pada November 2013, menyebabkan 7,350 orang maut atau hilang.

- Sumber: AFP

No comments:

Post a Comment