Sunday, 5 July 2015

Naluri saya kata suami telah meninggal dunia

KUALA TERENGGANU - "Saya terima suratan ini dengan hati terbuka. Sekurang-kurangnya saya masih mampu menatap jenazahnya buat kali terakhir dan tanda tanya saya selama ini tentang kehilangannya sudah terjawab.

"Saya reda akhirnya penantian saya berakhir. Namun saya turut sedih hajat untuk meraikan Aidilfitri buat pertama kali bersama suami tidak kesampaian," kata isteri kepada Mohd Zawawi Seman, 36, nelayan yang mayatnya ditemui setelah hilang di laut sejak 21 Jun lalu.

Salihana Zawawi, 29, berkata walaupun reda, namun beliau merasa sedih kerana satu-satunya anak mereka sudah tidak mempunyai bapa pada usia dua bulan.

Beliau berkata, beliau menerima panggilan daripada pihak polis mengenai penemuan mayat suaminya pada jam 6 petang semalam.

Sejurus selepas itu, pihak polis datang ke rumahnya di Kampung Gong Limau, Kemaman dan membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk pengesahan mayat. 

Salihana berkata, beliau pada mulanya tidak percaya suaminya telah meninggal tetapi setelah dimaklumkan mengenai penemuan beg pinggang yang mengandungi beg duit, kad pengenalan, telefon bimbit serta kad perkahwinan mereka bersama mayat tersebut, barulah beliau mempercayainya.

Mayat suaminya ditemui terapung di permukaan laut oleh sekumpulan nelayan di perairan Pulau Kapas semalam, setelah suaminya hilang bersama tiga rakan yang lain setelah keluar ke laut di perairan Kemaman.

Menurut Salihana, pada 25 Jun, suaminya ada menelefon adiknya dan memaklumkan mengenai kejadian ribut di tengah laut sebelum perhubungan mereka terputus akibat telefon suaminya dipercayai kehabisan bateri.

"Dua tiga hari sebelum mayat suami ditemui, naluri saya kuat mengatakan dia telah meninggal dunia. Anak saya juga menunjukkan kelakuan pelik dengan meragam dan tiba-tiba tersenyum," katanya.

Beliau berkata, arwah suaminya telah berpesan sebelum turun ke laut supaya dia menjaga keluarga dan anak mereka dan seakan-akan enggan untuk turun ke laut. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment