Sunday, 5 July 2015

'Baby hatch' selamatkan bayi yang dibuang

Sejak diwujudkan pada 2010, sebanyak 16 bayi telah diterima menerusi perkhidmatan 'baby hatch'.

KUALA LUMPUR: Siti* (bukan nama sebenar), 22 tahun tidak dapat menahan air matanya setelah mencium dahi anaknya yang baru berusia dua minggu itu buat kali terakhir.

Selepas mengandung anaknya itu untuk sembilan bulan, dia tahu hari itu akan tiba untuk dia menyerahkan bayi itu kepada keluarga angkat yang dapat memberikan si anak kecil itu kebahagiaan.

Kerana tidak ingin keluarganya tahu bahawa anaknya itu dilahirkan luar nikah, Siti yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi dan pasangannya mengambil keputusan untuk menyerahkan anak mereka kepada keluarga angkat dengan bantuan Yayasan Orphancare.

Bayi itu adalah antara 122 bayi yang berjaya diselamatkan yayasan itu di mana 106 bayi telah diserahkan secara bersemuka.

Menurut ahli jawatankuasa Orphancare, Datin Shamsia Mansoor, selepas menerima kaunseling, seramai 72 ibu kandung bertukar fikiran untuk menyerahkan anak.

"Sebenarnya, kita lebih suka dia datang ketuk pintu beri kita secara bersemuka. Sekurang-kurangnya kita dapat memberi nasihat melalui kaunseling. Kalau kita tahu masalah mereka, kita boleh cuba membantu," katanya.

Namun persoalannya, apakah yang berlaku kepada bayi-bayi lain yang tidak berjaya diselamatkan?

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan lebih separuh daridapa bayi yang ditemui meninggal dunia.

Daripada 90 kes pembuangan bayi dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Julai 2013, 53 bayi yang dijumpai polis sudah tidak bernyawa.

Bagi tempoh sama tahun lalu, hanya 15 daripada 52 bayi yang dibuang masih hidup. Selebihnya telah meninggal dunia ketika ditemui polis.

"Bayi-bayi ini dibuang merata tempat dan kemudian mendapat penyakit kerana selalunya, bayi dibuang waktu malam. Mereka terpaksa melalui cuaca yang sejuk dan di tempat yang selalunya tidak sihat seperti tong sampah dan belukar. Malah ada anjing-anjing liar yang akan menggigitnya sehingga menyebabkan kematian bayi tersebut," kata Shamsia.

Justeru untuk mengurangkan kadar kematian akibat pembuangan bayi, Orphancare mewujudkan "baby hatch" atau peti pelindung bayi.

"Fungsi 'baby hatch' ini adalah untuk menyelamatkan bayi daripada dibuang merata tempat dan mereka diselamatkan agar terus hidup dan tidak mendapat penyakit," kata Shamsia.

Sejak diwujudkan pada 2010, sebanyak 16 bayi telah diterima menerusi baby hatch.

Bagaimanapun, bayi yang diterima melalui khidmat itu sering menemui kesukaran untuk didaftar sebagai warganegara berikutan ibu kandung tidak meninggalkan butiran mengenai kelahiran anak itu.

"Sebab itu, dalam baby hatch kami menyediakan borang untuk mengisi butiran bayi berkenaan. Juga lebih baik jika mereka dapat tinggalkan surat kelahiran bayi. Namun sering kali, hanya bayi itu akan ditinggalkan tanpa sebarang maklumat mengenainya," jelas Shamsia.

Bagi anak Siti, anaknya bakal membesar dalam keadaan yang selamat dan terjamin dengan keluarga baharu yang nyata gembira dapat mengambil anak itu sebagai anak angkat.

Hakikatnya, ramai yang masih mencari anak kecil untuk menjadi penyeri hidup mereka.

Ketika ini, 708 pasangan berada dalam senarai menunggu untuk mengambil anak angkat daripada 2,849 pasangan yang mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment