Dewan Rakyat
SHAH ALAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini memanggil ahli-ahli Parlimen dari parti pembangkang dan Umno BN dalam satu pertemuan khas diadakan bagi membincangkan keadaan politik terkini dan hala tuju negara.
Beliau berkata, pertemuan itu akan diadakan pada Selasa depan, jam 12 tengah hari di bangunan Parlimen dalam menzahirkan kebolehpercayaan rakyat terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak susulan pendedahan Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini.
“Saya berharap melalui pertemuan ini, ahli-ahli Parlimen dari semua parti serta NGO dapat menzahirkan satu keputusan yang melambangkan keprihatinan rakyat seluruh negara kepada kebolehpercayaan rakyat terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jumaat lalu, WSJ dalam laporannya mendedahkan penemuan yang mengejutkan mengenai dapatan penyiasat yang mengaitkan pengaliran dana hampir AS$700 juta dari dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun persendirian Perdana Menteri melalui proksi.
Bagaimanapun dakwaan media barat itu disangkal Perdana Menteri sambil menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil wang kerajaan untuk kepentingan peribadi.
Mengulas lanjut, Wan Azizah selaku Presiden PKR juga berkata parti-parti pembangkang dan Umno-BN tidak seharusnya berdiam diri mengenai dakwaan berat itu yang kini menjadi kebimbangan rakyat.
“Walaupun kita menanti laporan penuh mengenai kes ini dari semua agensi kerajaan yang bertanggungjawab, namun kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan demi memastikan kepentingan rakyat dan negara terjamin,” katanya lagi.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment