KHAIRUDDIN: Saya ingin sarankan kepada Tunku Abdul Aziz agar duduk diam- diam kerana dia yang dikenali sebagai 'political prostitute' tidak mempunyai 'stature' untuk membuat sebarang komen mengenai forum #Nothing2Hide. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dinasihat untuk berdiam diri dan tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan mengelirukan berhubung isu Dialog #Nothing2Hide pada Sabtu yang dikatakan mencetuskan ketegangan akibat arahan batal oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dengan alasan mengganggu keselamatan.
Bekas Naib Pemuda UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Tunku Abdul Aziz juga tidak layak memberi apa juga pendapat mengenai forum berkenaan selain menyifatkan pelbagai versi tidak benar mengenai majlis berkenaan disebar untuk menutup perkara sebenar yang berlaku. (Baca: Kronologi #Nothing2Hide: Di sebalik pembatalan Dialog PM bersama NGO)
"Saya ingin sarankan kepada Tunku Abdul Aziz agar duduk diam- diam kerana dia yang dikenali sebagai 'political prostitute' tidak mempunyai 'stature' untuk membuat sebarang komen mengenai forum #Nothing2Hide.
"Tunku Abdul Aziz cuba menipu rakyat. Pada Sabtu saya berada di PWTC dari jam 7:30 pagi sehingga majlis berakhir pada hakikatnya berada dalam keadaan yang cukup tenang kerana semua para hadirin merupakan 'discipline crowd' dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Bagaimana Tunku Abdul Aziz tahu serta berkata program tegang? Dia adalah orang yang keluar paling awal bila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibawa masuk oleh pihak penganjur ke atas pentas. Banyak tuduhan yang cuba memburukkan dan mengaibkan tokoh negarawan itu," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Tunku Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan sebuah portal menuduh Dr Mahathir menjadi punca ketegangan majlis #Nothing2Hide pada Sabtu.
Dalam pada itu kata Khairuddin, suasana amat tenang sehinggalah ke saat Dr Mahathir dijemput berucap secara rasmi oleh pihak penganjur.
"Tunku Abdul Aziz perlu buktikan waktu mana yang dia katakan keadaan tegang? Buktikan Dr Mahathir rampas pentas bila dia dijemput ke pentas oleh penganjur. Dr Mahathir diumumkan oleh pengerusi majlis untuk berucap dan baru dia berucap. Jadi dimana pula sesi rampas pentas seperti yang dikatakan Tunku Abdul Aziz?
"Ketika Tunku Abdul Aziz jadi orang kuat DAP, dialah yang paling kuat mengutuk kepimpinan UMNO serta BN. Hakikatnya dia tidak layak untuk membuat sebarang komen kepada tokoh negarawan terulung yang selama 22 tahun memimpin negara dengan cemerlang dan meninggalkan kepimpinan negara dengan asas yang amat kukuh.
"Tunku Abdul Aziz kata hendak tanya Dr Mahathir 10 soalan tetapi bila Dr Mahathir masuk dia terus keluar dewan. Adakah dia ini tergolong dalam kumpulan penakut?" jelasnya. Sebelum ini, Dr Mahathir meminta Tunku Abdul Aziz mengambil peluang sebagai anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan penuh sama ada dia pernah menyalahgunakan dana persekutuan selama 22 tahun sebagai perdana menteri.
Dr Mahathir juga memberi amaran, Tunku Abdul Aziz perlu meminta maaf jika tiada bukti ditemui yang melibatkan beliau menyalahgunakan dana persekutuan ketika berkhidmat sebagai perdana menteri.
Dr Mahathir sebelum ini menegaskan, program #Nothing2Hide 'Dialog PM Bersama NGO' merupakan medan terbaik untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meningkatkan sokongan dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya.
Menurut Dr Mahathir, bukan sahaja masyarakat malah dia sendiri sedia kembali menyokong Najib sekiranya perdana menteri berjaya memberi penjelasan terperinci mengenai apa yang berlaku terutama melibatkan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sementara itu pada Sabtu, penganjur program #Nothing2Hide sekali gus Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) Datuk Khairul Anwar Rahmat dalam satu kenyataan meluahkan perasaanketidakpuashatian tentang bagaimana mereka telah dikambing hitamkan dan dijadikan bahan tohmahan berikutan kegagalan majlis tersebut.
Khairul Anwar mendakwa, punca kekecohan yang berlaku semalam adalah disebabkan oleh campur tangan pegawai kanan Najib sendiri.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment