Sunday, 7 June 2015

Malim gunung tekad keluarkan mayat rakan, cari pendaki hilang

BEBERAPA orang "Malim Gunung" atau Mountain Guide berehat selepas bertungkus lumus membantu operasi mencari dan menyelamat di Timpohon, semalam.

RANAU: "Semangat kami tidak goyah malah bertambah kuat apabila melihat mayat rakan masih tertimbus di atas sana," kata malim gunung, Himrayizan Rozlan sebelum mendaki Gunung Kinabalu dalam misi menyelamat pagi tadi.

Himrayizan, 26, berkata mayat seorang rakan sekerja mereka sudah ditemui semalam, namun sukar dikeluarkan kerana tertimbus hingga paras leher.

Lebih menyukarkan katanya, ketika usaha untuk mengeluarkan mangsa, runtuhan terus berlaku menyebabkan kerja penggalian dihentikan.

"Keadaan di atas sana memang amat merbahaya sekarang. Runtuhan kecil selalu berlaku dan dikhuatiri mencederakan kami.

"Hari ini kami naik lagi dan akan berusaha mengeluarkan mayat rakan serta mencari yang lain yang masih hilang," katanya ketika ditemui sebelum memulakan pendakian di Timpohon bersama sekumpulan malim gunung, pagi tadi.

Seramai 40 malim gunung mendaki Gunung Kinabalu manakala 50 lagi menaiki helikopter untuk menyertai misi mencari dan menyelamat.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti malim gunung yang masih tertimbus itu bagi menghormati perasaan keluarga mangsa.

"Tunggulah pengumuman rasmi pihak berkuasa, tetapi kami amat pasti mangsa itu adalah rakan sekerja kami kerana mukanya jelas kelihatan," katanya.

Mengenai pelbagai dakwaan pihak yang mempertikaikan pasukan penyelamat yang tersebar di media sosial, Himrayizan berkata, hanya orang yang arif dengan keadaan di Gunung Kinabalu sahaja yang tahu kesukaran mendaki gunung itu.

"Mereka boleh kata apa sahaja, tetapi mereka harus faham kesukaran di atas sana...gegaran kerap berlaku dan terlalu merbahaya.

"Cuba mereka berada bersama malim gunung, mereka akan tahu apa yang kami hadapi," katanya.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment