Sunday, 7 June 2015

Kemboja 'marah' pemerintah India mahu bina replika Angkor Wat

Kemboja tidak berpuas hati apabila mengetahui India mahu membina replika candi Angkor Wat di negeri Bihar. 

PHNOM PENH: Kemboja telah menghantar surat bantahan kepada pemerintah India berikutan terdapat usaha untuk membina sebuah kompleks replika Angkor Wat di negara Asia Selatan itu, lapor portal berita Kyodo News.

Kementerian Luar Kemboja telah mengirim nota diplomatik yang menyatakan bahawa mereka telah mengetahui tentang sebuah dana amanah Hindu yang merancang membina replika kompleks candi bersejarah tersebut di negeri Bikar, India.

“Kerajaan Kemboja menyifatkan ’salinan’ kompleks Angkor Wat itu sebagai merampas nilai komersial sekali gus mencabul status tapak warisan dunia dari kurun ke-12 itu.

“Angkor Wat selama ini adalah perlambangan nilai sejagat dan kemanusiaan yang tiada bandingannya,” kata kementerian itu kepada Kementerian Hal Ehwal Luar India.

Bantahan itu mendesak India agar memberi perhatian serius dan segera menyelesaikan perkara tersebut demi mengelakkan hubungan bersejarah antara dua negara tersebut terjejas.

Laman web rasmi dana amanah di India itu menunjukkan bahawa kompleks candi bersaiz mega itu mahu dibina di sebuah kawasan yang terletak sejauh 60 kilometer dari kota usang Vaishali di Bihar.

Pemerintah India secara tidak langsung dilihat sebagai mahu menggantikan Angkor Wat sebagai candi Hindu terbesar di dunia.

India memberitahu, namanya akan ditukar daripada Viraat Angkor Wat Ram Mandir menjadi Viraat Ramayan Mandir sebagai usaha ‘menjaga hati’ dan sentimen rakyat Kemboja.

“Apabila projek ini selesai, ia akan mengukuhkan ikatan antara dua negara yang kaya dengan nilai kebudayaan, yang sudah terjalin sejak dua milenium lamanya,” ujar kenyataan dari dana amanah tersebut.

Kementerian Luar Kemboja dalam surat bantahan kepada India tetap menyatakan bahawa Angkor Wat merupakan simbol negaranya.

- Sumber: Agensi

No comments:

Post a Comment