Sunday, 7 June 2015

Gempa Sabah: Tujuh lagi rakyat Singapura disahkan maut

Dua mayat mangsa gempa bumi berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat di Laban Rata Gunung Kinabalu pada 7 Jun 2015.

SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) Singapura hari ini mengumumkan mayat yang ditemui pihak berkuasa Malaysia telah dikenal pasti waris masing-masing sebagai lima pelajar dan seorang guru dari Sekolah Rendah Tanjong Katong.

Mereka ialah Ameer Ryyan Mohd Adeed Sanjay, Emilie Giovanna Ramu, Loo Jian Liang Terrence Sebastian (guru), Matahom Karyl Mitzi Higuit, Rachel Ho Yann Shiuan dan Sonia Jhala.

Mayat jurupandu warganegara Singapura, Muhammad Daanish Amran yang mengiringi pelajar berkenaan juga telah dikenal pasti.

Pada Sabtu, mayat pelajar Wee Ying Ping Peony telah dikenal pasti. Hingga kini, lapan mayat rakyat Singapura telah dikenal pasti waris masing-masing.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa sekumpulan pelajar dari Sekolah Rendah Tanjong Katong berada di Gunung Kinabalu ketika gempa bumi itu berlaku pada Jumaat.

MOE Singapura berkata, operasi sedang diteruskan untuk mengesan seorang lagi pelajar iaitu Navdeep Singh Jaryal Raj Kumar dan seorang guru Mohammad Ghazi Mohamed.

Kata kementerian itu, para pegawai MOE Singapura dan kementerian lain kini berada di Kota Kinabalu untuk memberi bantuan serta sokongan kepada keluarga terbabit dalam menghadapi detik-detik memilukan ini.

Persiapan sedang dibuat untuk membawa pulang anggota keluarga dan mayat mangsa ke Singapura secepat mungkin.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment