Sunday 7 June 2015

Korban kapal karam China meningkat kepada 406 orang


PASUKAN penyelamat memberikan tabik hormat ketika mayat dikeluarkan dari kapal Eastern Star. - Foto AP

JIANLI, China: Ratusan mayat yang dikeluarkan dari kapal Eastern Star menjadikan angka korban tragedi kapal karam itu melebihi 400 orang, menurut badan penyiaran China, ketika pasukan bantuan bencana memperluaskan pencarian di Sungai Yangtze untuk puluhan lagi mangsa yang hilang.

Pihak berkuasa menyatakan angin kuat adalah punca kapal itu terbalik dan karam Isnin lalu tetapi meletakkan kapten dan jurutera pertama kapal itu dalam tahanan polis.

Waris penumpang juga sudah mempersoalkan kenapa kapal itu meneruskan pelayaran apabila ribut bermula di bahagian Hubei sungai itu serta selepas amaran cuaca dikeluarkan petang itu.

Angka kematian sehingga semalam meningkat kepada 406 orang selepas ratusan mayat ditemui semalam dan kelmarin. Seramai 36 lagi penumpang disenaraikan sebagai hilang.

Hu Kaihong, Naib Ketua Pengarah Biro Akhbar dari Pejabat Majlis Maklumat Negeri, memberi tahu sidang media bahawa pihak berkuasa sudah meminta pihak berkenaan di sepanjang sungai itu supaya memaklumkan jika ternampak mayat terapung.

Hu berkata, pihak berkuasa sedang meningkatkan usaha mencari dan memperluaskan kawasan sasaran.

Kapal yang membawa lebih 450 penumpang dan anak kapal itu dalam pelayaran dari Nanjing ke Chongqing apabila ia karam ketika ribut lewat Isnin lalu. 

- Sumber: AP

No comments:

Post a Comment