Saturday 2 May 2015

Wanita maut kereta hilang kawalan, langgar lori


NILAI - Seorang wanita maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta Toyota Unser dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori 10 tan di Kilometer 287.4 Lebuhraya Utara- Selatan (Plus) arah Selatan di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu menyebabkan mangsa, Hayati Mohamad Sahari, 44, maut ditempat kejadian akibat mengalami cedera parah.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Abdullah Roning berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku apabila kereta dinaiki mangsa hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah lori 10 tan membawa muatan sayur.

"Kejadian itu mengakibatkan lori terbabit hilang kawalan lalu terlanggar besi penghadang jalan di sebelah kanan dan terbabas memasuki lebuh raya bertentangan yang menghala ke Kuala Lumpur.

"Manakala kereta dinaiki mangsa dipercayai terbalik beberapa kali di atas jalan yang menyebabkan pemandunya iaitu Hayati maut manakala penumpangnya mengalami cedera parah,"katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban di sini untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment