Saturday 2 May 2015

Pelajar genius dipenjara kerana miliki bahan lucah

Nur Fitri Azmeer dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah kerana memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak. - Foto Facebook

SHAH ALAM - Seorang pelajar pintar Matematik dari Malaysia, Nur Fitri Azmeer Nordin, 23, telah dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah kerana memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak.

Memetik laporan portal United Kingdom International Business Times (UKIBT), Mahkamah Southwark Crown, London menjatuhi hukuman itu pada Khamis lalu setelah, Nur Fitri disabitkan dengan 17 kesalahan memiliki, membuat dan menyebarkan gambar-gambar lucah kanak-kanak.

Rahsia Nur Fitri terbongkar setelah pihak polis Metropolitan berjaya mengesan kelakuan Nur Fitri selepas menemui satu akaun internet miliknya yang telah memuat turun beribu-ribu video dan imej lucah kanak-kanak.

Nur Fitri mula belajar di Imperial College sejak tahun lalu dan ditahan di kediamannya di Queensborough Terrace, West London.

Selepas mengetahui perlakuan Nur Fitri, polis bertindak menggeledah rumahnya pada November 2014 dan menemui komputer riba miliknya yang masih terbuka bersebelahan sebuah patung kanak-kanak.

Nur Fitri mengaku melakukan kesalahan tersebut sehingga tarikh November 2014 di mahkamah sama.

Ketika ditahan, polis mendapati Nur Fitri yang juga pemegang biasiswa Matematik memiliki 601 buah video dan imej lucah Kategori A iaitu kategori penyalahgunaan yang melibatkan aktiviti seksual kanak-kanak, serta beratus-ratus bahan lucah kategori B dan C.

“Nur Fitri terlibat dalam aktiviti memiliki dan berkongsi beberapa imej yang ‘sangat ekstrem’ yang pernah kami lihat dalam jenayah bahan lucah kanak-kanak.

“Hukuman penjara yang dijatuhi mahkamah sememangnya sukar dielak memandangkan jumlah imej dan kandungan yang dimiliki Nur Fitri berada pada tahap membimbangkan,” kata seorang Pegawai Unit Jenayah Berat Metropolitan, Sara Keane.

Nur Fitri memulakan pengajian di sebuah koleh di ibu negara dan mendapat tawaran biasiswa daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk melanjutkan pelajaran pada 2011.

Dia yang berasal dari Malim Nawar, Perak merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, dan pernah bertanding dalam Kejuaraan Olimpik Matematik di Amsterdam.

Dalam laporan UKIBT, Nur Fitri dilaporkan akan dihantar pulang ke Malaysia sebaik sahaja dibebaskan daripada hukuman penjara.

----------------------------------------------------
- Sumber: Sinar Harian | 2 Mei 2015

No comments:

Post a Comment