Saturday 2 May 2015

Tidak layan tuduhan tidak berasas, tumpu kerja - Najib

NAJIB: Saya tidak gemar melayan tuduhan-tuduhan yang tidak berapa betul hujung pangkalnya.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mempertahankan cara kepimpinannya dengan menyatakan bahawa tumpuan beliau adalah kepada usaha membangunkan negara.

Beliau menegaskan tidak gemar melayan tuduhan-tuduhan kerana hanya akan mengalihkan tumpuannya dalam usaha memajukan negara.

"Sebagai Perdana Menteri, cara kepimpinan saya lebih menumpukan kepada kerja-kerja membangunkan negara. Saya tidak gemar melayan tuduhan-tuduhan yang tidak berapa betul hujung pangkalnya.

"Ini kerana di era media sosial, isu senang tersebar tanpa batasan. Melayan isu-isu ini pada setiap masa hanya akan mengalihkan tumpuan saya daripada usaha memajukan negara,

"Bagi meningkatkan produktiviti, kita perlu fokus pada pekerjaan," katanya dalam entri terbaru di blog najibrazak.com bertajuk "Tumpuan kepada kerja-kerja membangunkan negara."

Tambah Najib, beliau akan terus memberikan penerangan mengenai isu-isu yang berbangkit dari semasa ke semasa.


"Namun jangan sampai kita hilang fokus kepada tanggungjawab yang diamanahkan kerana terlalu asyik dengan isu-isu yang dibangkitkan yang tiada penghujungnya," katanya.

Beliau dalam masa sama turut mengulas pencapaian kerajaan sehingga kini.

"Dalam tempoh lima tahun yang lalu, projek Mass Rapid Transit (MRT) hampir 60% siap, kunci rumah yang dibina dibawah skim perumahan PR1MA diserahkan dan jambatan kedua Pulau Pinang siap dibina.

"Sektor ekonomi juga kini membuka peluang kepada 1.5 juta pekerjaan baru sejak 5 tahun ini."

Najib turut menambah program pembangunan modal insan seperti TEKUN, SUPERB, TERAJU, 1AZAM dan SEED mula menghasilkan bakat-bakat berkualiti dan berjaya.

"Program-program transformasi seperti itu lebih mustahak dalam meningkatkan kualiti hidup setiap rakyat Malaysia," katanya lagi. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment