Saturday 2 May 2015

Polis tahan peserta dan aktivis #BatalGST

Antara yang dipanggil Datuk Ambiga Sreenevasan, Anthony Loke dari DAP dan Ketua Setiausaha Parti Sosialis S. Arutchelvan. 

KUALA LUMPUR: Polis telah menahan beberapa peserta Perhimpunan #BatalGST yang mengadakan bantahan di KLCC siang tadi.

Selain itu beberapa pemimpin Pembangkang dan aktivis turut dilaporkan telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi diambil keterangan dan membantu siasatan malam ini.

Antara yang dipanggil Penaung Negara Ku, Datuk Ambiga Sreenevasan, Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke dan Setiausaha Agung Parti Sosialis, S. Arutchelvan.

Menurut peguam Lawyers for Liberty, Latheefa Koya yang ditemui di perkarangan balai polis Dang Wangi seramai 59 orang telah ditahan sehingga pukul 7.30 malam tadi.

Siasatan dipercayai dilakukan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan berkaitan mengadakan perhimpunan haram.



Sementara itu Bernama melaporkan pihak polis mengesahkan seramai 30 individu termasuk bekas pengerusi bersama Bersih, Datuk S. Ambiga ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 60 tahun disiasat di bawah Seksyen 143, Seksyen 448 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1985.

"Ambiga ditahan pada pukul 10 malam ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat esok," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu polis memaklumkan akan mengambil tindakan terhadap peserta perhimpunan berkenaan yang antaranya dipercayai melakukan vandalisme terhadap harta awam serta menggunakan bom asap dan membawa kanak-kanak ketika perhimpunan.

Perhimpunan #BatalGST itu dianjurkan kumpulan dari NGO Jawatankuasa Mei 1 dan bermula di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur termasuk Pasar Seni, Masjid Jamek, Sogo, Dataran Merdeka dan Masjid Negara sekitar jam 2.30 petang sebelum berarak ke KLCC.

Ia bagi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bermula 1 April lalu yang dikatakan membebankan rakyat.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment