Saturday 2 May 2015

Asri sendiri minta bubar cawangan Umno

Mohd Zaidi menunjukkan surat dari Umno Malaysia mengenai pembubaran Umno cawangan Guar Jering Jaya.

PERMATANG PAUH - "Dia cuba cari publisiti murahan. Itu yang dijelaskan Ketua Umno Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Ketua Umno Cawangan Guar Jering Jaya, Asri Ahmad, 44, yang mengumumkan pembubaran cawangan itu hari ini dan beralih sokongan kepada PKR.

Mohd Zaidi berkata, Asri sendiri memohon kepada Umno Malaysia untuk membubarkan cawangan berkenaan pada 17 November tahun lalu selepas tidak aktif dan mengalami masalah keahlian.

Menurutnya, Asri yang sebelum ini kalah pada pemilihan jawatan Ketua Cawangan Guar Jering kepada Suhaimi Sabudin bertindak menubuhkan cawangan baharu walaupun dalam kawasan yang sama.

"Dalam satu kampung tak semestinya ada dua cawangan...Tindakan dia (Asri) menubuhkan cawangan baharu seperti mahu memecahbelahkan Umno di kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, penubuhannya tidak mendapat sambutan dan dia sendiri memohon untuk membubarkan cawangan itu tahun lalu dan bukan hari ini," katanya ketika ditemui media di Wisma Transformasi Umno Permatang Pauh di sini semalam.

Terdahulu, dalam sidang media di bilik gerakan PKR, Asri Ahmad, 44, yang mengaku menjadi ahli Umno selama lebih 30 tahun berkata, cawangan yang ditubuhkan pada 2006 dengan 68 ahli dibubarkan kerana diabaikan kepimpinan tertinggi Umno.

Beliau berkata, mereka kini sedang mempertimbangkan sama ada akan menyertai PKR atau tidak dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, tindakan Asri dengan beberapa pengikutnya itu sedikit pun tidak menjejaskan semangat Umno dan BN untuk terus berkempen bagi memastikan kemenangan dalam PRK Permatang Pauh.

Beliau berkata, Asri mungkin mempunyai kepentingan peribadi dan mendapat tekanan dari pihak tertentu kerana menjadi kakitangan kerajaan negeri.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment