Saturday 2 May 2015

Kereta terbabas elak monyet

Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan dan kepalanya.

GUNUNG SEMANGGOL - Seorang penumpang maut manakala dua lagi cedera setelah kereta Perodua Alza dinaiki mereka hilang kawalan ketika cuba mengelak seekor monyet di Kilometer 194.2 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara pada jam 5.45 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu dari bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dan bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit didapati terbabas dan merempuh pengadang jalan.

Menurutnya, serpihan pengadang itu menembusi kenderaan tersebut dan mengenai penumpang di tempat duduk hadapan.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa, Mohamad Khairil Abu, 39, maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah apabila serpihan pengadang itu kena badan dan kepalanya," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta itu dan mangsa yang merupakan abang iparnya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk pulang bercuti ke kampung halaman di Kedah, sempena cuti Hari Pekerja.

“Pihak kami turut difahamkan pemandu tersebut terkejut setelah menyedari seekor monyet yang berada di kiri jalan, melintas di hadapan kereta mereka sehingga menyebabkan kenderaan dipandunya hilang kawalan.

“Kenderaan itu kemudiannya terbabas dan merempuh pembahagi jalan yang terletak di kawasan berhampiran,” katanya.

Omar Bakhtiar berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh paramedik yang tiba dan mayatnya dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Beliau berkata, pemandu Perodua Alza terbabit dan isterinya hanya cedera ringan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Kamunting, Penguasa Bomba Tajudin Sidek ketika dihubungi berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba segera mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment