Saturday 2 May 2015

Ramona Zamzam sah bergelar isteri


PELAKON Ramona Zamzam atau nama sebenarnya, Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam sah bergelar isteri kepada jejaka dari Palestin yang menetap di Malaysia, Rami Alashkar pada jam 3.48 petang tadi di Kayangan Heights. - Foto NSTP

SHAH ALAM: Pelakon Ramona Zamzam atau nama sebenarnya, Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam sah bergelar isteri kepada jejaka dari Palestin yang menetap di Malaysia, Rami Alashkar pada jam 3.48 petang tadi di Kayangan Heights, di sini dengan sekali lafaz. 

Pasangan ini dinikahkan sendiri ayah Ramona iaitu Mohd Zamzam Mohd Ashraff.

Pihak pengantin wanita menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pihak pengantin lelaki. Pemenang tempat keempat Dewi Remaja 2010 itu menerima hantaran mas kahwin RM300. Bagaimanapun wang hantaran dirahsiakan. 

Terdahulu pada sebelah pagi pasangan ini mengikat tali pertunangan dalam satu majlis ringkas di lokasi yang sama pernikahan berlangsung.

"Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan seadanya. Terima kasih yang sudi hadir ke acara kami," kata yang turut berkebolehan berbahasa Mandarin kerana bersekolah sejak tadika hingga menengah di sekolah Cina.

Menurut Ramona, perancangan asal mereka mahu bernikah pada Ogos depan tetapi atas beberapa sebab ia dipercepatkan ke Mei.

"Oleh kerana adik Rami akan mengadakan majlis kahwin bulan Ogos di Qatar maka kami disyorkan untuk menganjak perancangan itu sebulan selepas itu. Oleh kerana terlalu lama jarak menanti, kami putuskan untuk bernikah lebih awal dan mempercepatkan apa yang patut," katanya. 

Mengenai Rami, Ramona menyifatkan suaminya itu cukup sempurna di matanya. 

"Hubungan kami ini antara yang paling tak memberikan masalah kepada saya. Kami payah nak bergaduh dan dia tahu cara nak uruskan saya. Saya ini jenis keras kepala tapi dia cool dan boleh faham personaliti diri. 

"Kalau saya panas, dialah yang menyejukkan saya. Daripada situ saya sedar, dialah calon suami idaman. Kalau lelaki lain barangkali kami sudah bergaduh tetapi dengan dia sebaliknya. Dia boleh pujuk saya hingga hati saya jadi lembut," katanya.

Ramona dan Rami bercinta hampir dua tahun lalu dan memutuskan untuk ke fasa yang lebih serius kira-kira setahun lalu. 

Ramona menjelaskan dia dan suami merancang berbulan madu di mana-mana pulau seperti Bali atau Lombok selain berkira-kira ke Eropah.

"Ikutkan tak fikir lagi nak berbulan madu di mana. Tapi semestinya kami nak ke destinasi yang ada pulau dan cahaya matahari kerana kami berdua suka dengan persekitaran sebegitu. Saya ada mencadangkan ke Lombok dan Bali. Kalau suami beri lampu hijau, maka mungkin kami berdua akan jejak ke situ. Hati saya memang masih di pulau di Bali atau Lombok.

"Buat sementara waktu, kami hanya boleh fikirkan destinasi yang dekat-dekat dahulu kerana bulan September ada resepsi kami. Nak pakai duit macam-macam, lalu fikirkan yang terdekat sahaja," katanya yang anggun dengan persalinan rekaan Azura Couture

Ramona dan Rami akan diraikan pada 6 Jun di Kem Sentosa Perak dan seterusnya di Kuala Lumpur pada 19 September. Cuma ketika ini, lokasi majlis di KL belum dapat diputuskan.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment