Wednesday 6 May 2015

Mara beri peluang kedua kepada Nur Fitri

Laporan pihak penjara menunjukkan bahawa Nur Fitri berkelakuan baik sehingga tempoh hukumannya dikurangkan. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) mahu memberi peluang kedua kepada pelajar tajaannya Nur Fitri Azmeer Nordin yang kini menjalani hukuman penjara bersabit kesalahan memiliki lebih daripada 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London, lapor portal mStar.

Ahli Majlis Mara, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata pelajar berusia 23 tahun itu akan diberi peluang meneruskan pengajian di mana-mana institusi Mara dalam negara sejurus selesai menjalani hukuman dan kembali ke tanah air.

“Saranan ini adalah sebagai tanda sokongan kepadanya. Secara peribadi, saya bersetuju. Kita berikan sokongan dalam pelbagai cara untuk membentuk semula jati dirinya,” kata Nazir.

Tambah Nazir, peluang kedua tersebut tidak eksklusif buat Nur Fitri malah tindakan yang sama boleh diberikan bagi mana-mana pelajar cemerlang tajaan Mara yang berdepan nasib sama.

“Laporan pihak penjara menunjukkan bahawa dia berkelakuan baik sehingga tempoh hukumannya dikurangkan, maka adalah wajar untuk kita memberinya sokongan semula,” ujar Nazir.

Terdahulu, MARA dilapor menamatkan pinjaman pelajaran Nur Fitri setelah dia disabitkan bersalah oleh mahkamah di London.


Dalam pada itu, pendakwah bebas Datuk Md Daud Che Ngah menyarankan agar kerajaan tidak memberi peluang kedua menyambung pelajaran di London kepada Nur Fitri, sebaliknya meminta dia menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi negara ini untuk mengelak perkara seumpama berulang.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment