Wednesday 6 May 2015

Bayi 9 bulan maut tercampak keluar dari MPV dalam kemalangan di Senai

JOHOR BAHARU: Seorang bayi perempuan berumur sembilan bulan maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dalam satu kemalangan yang melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 22, Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran persimpangan keluar Senai, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Razak Md Said berkata pada kejadian pada pukul enam pagi itu, bayi itu yang berada di pangkuan ibunya yang duduk di sebelah bapanya di tempat duduk hadapan, tercampak keluar ketika kejadian.

Beliau berkata bapa bayi itu, yang memandu Proton Exora, gagal mengawal kenderaan yang dipandunya di lorong kanan, lalu masuk ke lorong kiri dan melanggar belakang sebuah lori treler.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) itu kemudiannya terbabas ke tepi jalan sebelah kiri, melanggar rel penghadang jalan lalu terbalik beberapa kali, kata beliau.

Motosikal yang berada di belakang Proton Exora itu, cuba mengelak kedua-dua kenderaan di hadapannya dan terbabas ke rel penghadang jalan.

Bagaimanapun, ibu bapa bayi, pemandu treler dan penunggang motosikal hanya kecederaan ringan, kata Razak.

Identiti kesemua mangsa kemalangan bagaimanapun tidak didedahkan.

"Mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat," katanya.

Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment