Wednesday 6 May 2015

Dyana Sofya tak kenal erti serik


PERMATANG PAUH - Tiada istilah 'serik' buat Dyana Sofya Mohd Daud dalam dunia politik sekali pun tewas dalam percubaan pertama bertanding pada PRK Telok Intan tahun lalu.

Bekas calon DAP itu juga berkata, walaupun tidak bergelar 'Yang Berhormat', beliau tetap menghulurkan khidmatnya kepada pengundi Telok Intan sepanjang masa.

"Tidak, mana ada serik dalam politik. Sekarang ini pun saya masih bersama pengundi Telok Intan dan saya tetap kena beri perkhidmatan kepada mereka," katanya kepada Sinar Online selepas Majlis Makan Malam bersama pengundi Cina di Bukti Mertajam, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Dyana juga berkata beliau belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding pada PRU14 akan datang sebaliknya.

"Kita tengoklah macam mana (pilihan raya) akan datang," ujarnya.

Mengulas lanjut, Dyana yang telah berada dalam kawasan PRK Permatang Pauh sejak Sabtu lalu turut menyifatkan calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon PR.

Katanya, sebagai pemimpin muda dalam DAP, beliau tidak melihat sebarang masalah untuk bekerjasama dengan pemuda Pas dan PKR bagi membantu memenangkan calon pada PRK Permatang Pauh.

"Tiada masalah, jadi tiada masalah, kita boleh bekerjasama, semuanya bekerja kuat untuk pilihan raya ini.

"Calon PKR adalah calon PR, jadi kita semua bekerja bersama-sama," ulasnya.

Ditanya tentang penerimaan masyarakat khususnya golongan muda terhadap kehadirannya membantu calon PKR berkempen, Dyana berkata sambutan amat menggalakkan dan usaha

mereka akan berterusan hingga ke hari pembuangan undi.

"Bagaimanapun kita tidak boleh terlalu selesa, kena kerja kuat sampai hari buang undi.

"Alhamdulillah (penerimaan) sangat bagus, kita boleh tengok di sini (majlis makan malam bersama pengundi Cina) sangat bagus, kita harapkan supaya sokongan sebegini akan terus," katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Permatang Pauh diadakan pada 7 Mei dengan 71,890 pengundi berdaftar dijangka menunaikan tanggungjawab pada hari tersebut.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment