Friday 10 April 2015

Tun M tidak setuju Najib beri BR1M

Dr Mahathir Mohamed.

SHAH ALAM - ‎[DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Menurut Najib perkara ‎itu dinyatakan kepadanya dalam pertemuan antara dua pemimpin itu yang diadakan di rumah Dr Mahathir sendiri. 

"Saya sendiri pergi ke rumah beliau untuk bertemu dengannya," katanya.

‎Dalam pertemuan itu, Najib turut mendedahkan, terdapat beberapa perkara yang dilakukannya tidak dipersetujui oleh Dr Mahathir.

"‎Ada satu, dua perkara beliau tak setuju saya buat. Antaranya BR1M. Beliau juga meminta saya buat jambatan bengkok di Tambak Johor," katanya yang menganggap perbincangan itu satu perbincangan sihat antara dua pemimpin.

Bagaimanapun, tegas Najib, sebagai Perdana Menteri, Presiden Umno dan parti (BN), beliau perlu bertanggungjawab kepada rakyat serta parti," katanya ketika mengulas kritikan pedas Dr Mahathir, baru-baru ini dalam satu wawancara khas yang disiarkan TV3, malam ini.

‎Tambah Najib, pemberian BR1M kepada isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan bukan satu 'handout'.

Sebaliknya, Najib menjelaskan, ia adalah satu bentuk jaringan keselamatan sosial untuk golongan itu. 

Beliau berkata pemberian BR1M yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Dasar Fiskal itu dapat memberi timbal balas kepada golongan berpendapatan rendah berikutan pengurangan dan pemansuhan subsidi.

Menurutnya banyak negara juga mempunyai sistem jaringan keselamatan sosial dalam pelbagai kaedah bagi membela nasib rakyat mereka.

Najib berkata, beliau tetap menghormati bekas Perdana Menteri itu sama seperti menghormati rakyat Malaysia yang lain.

"‎Saya terbuka kepada mana-mana pihak termasuk rakyat yang hendak mengkritik pentadbiran saya. Cuma saya berharap, kritikan yang dikemukakan mestilah berhemah dan bertanggungjawab.

"Setiap kritikan yang diterima, saya teliti, namun, sebagai Perdana Menteri dan presiden parti, saya perlu bertanggungjawab kepada rakyat dan parti," tegas beliau.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment