Friday 10 April 2015

Fast & Furious 7: Lebih 230 kereta musnah

Antara kereta-kereta yang dilupuskan. - Foto Jeff Curry

KEPADA sesiapa yang telah menonton filem aksi popular, Fast & Furious 7 pasti mengagumi aksi yang dipaparkan dalam filem berkenaan.

Untuk menjayakan setiap aksi yang dipaparkan, lebih daripada 230 buah kereta musnah sepanjang penggambaran filem ini.

Menurut penyelaras kereta untuk filem Fast & Furious, Dennis McCharty, beratus-ratus kenderaan rosak semasa menjalankan penggambaran filem ini dan 230 buah kereta untuk Fast & Furious 7.

"Untuk babak aksi di pergunungan Monarch Pass, Colorado lebih 40 kenderaan musnah semata-mata untuk menjayakan babak berkenaan.

"Manakala pada tahun 2013, semasa penggambaran Fast & Furious 6, kami memusnahkan 25 buah kereta di siang hari, pihak pelupusan kereta tempatan akan datang pada waktu malam untuk mengutip dan membawakan lagi 25 buah,” katanya dipetik Wall Street Journal

Setiap kenderaan yang rosak semasa menjalani penggambaran filem berkenaan akan dilupuskan untuk mengelakkan sesiapa daripada membaiki dan ditimpa kemalangan akibat menggunakan kereta yang telah rosak.

Tambahnya lagi, setiap krew penggambaran perlu mengikuti protokol khas yang ditetapkan, mendokumentasikan setiap kereta yang rosak untuk tujuan akuan dan liabiliti.

"Setiap kereta yang musnah perlu direkodkan,” katanya lagi.

Filem terbaru dari Universal, Fast & Furious 7 berjaya mencapai rekod RM520 juta dalam minggu pembukaan box office domestik.

Menurut Money CNN, tayangan Fast & Furious 7 berjaya mengalahkan rekod yang dipegang oleh filem Captain America: The Winter Soldier sebelum ini dengan kutipan RM346 juta.

Lebih menarik, filem ini turut menyaksikan anak kelahiran Kuching, Sarawak, James Wan, yang juga pengarah beberapa filem seram terkenal seperti Insidious, The Conjuring, Insidious: Chapter 2, diberi kepercayaan untuk menggarap filem aksi ini

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment