Friday 10 April 2015

Lembaga Pengarah, Ketua Eksekutif 1MDB jumpa Tun M


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta Ketua Eksekutifnya Arul Kanda Kandasamy telah mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menerangkan mengenai syarikat tersebut.

Najib berkata beliau tidak pernah menjelaskan secara langsung mengenai 1MDB kepada Dr Mahathir kerana urusan tersebut tidak dibangkitkan secara terus oleh bekas Perdana Menteri itu kepadanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika ditemu bual oleh pengacara Hamdan Ahmir dalam program Edisi Khas Soal Jawab TV3 malam ini.

Dr Mahathir baru-baru ini meminta Najib menjawab beberapa persoalan berkaitan 1MDB setelah mengkritik beliau mengenai kerugian serta hutang yang ditanggung oleh syarikat tersebut.

Dr Mahathir juga meminta Najib menjelaskan mengenai hubung kait syarikat tersebut dengan ahli perniagaan Low Taek Jho, serta sumber kewangan anak tiri beliau Riza Aziz, yang membeli hartanah mewah di New York. 

Dalam wawancara tersebut, Najib berkata beliau telah meminta Ketua Audit Negara mengesahkan sama ada dana 1MDB disalahgunakan untuk membuat filem dan sebagainya.

Ditanya mengapa soal pembikinan filem itu dibangkitkan oleh Dr Mahathir, Najib berkata: "Sebab ada dakwaan sedemikian. Saya tidak mahu mempertahankan apa-apa sebab ia melibatkan ahli keluarga saya, dan oleh sebab itu saya hendak Ketua Audit Negara mengesahkan perkara ini." 

Ditanya sama ada beliau memohon kepada pihak pengurusan 1MDB supaya lebih telus dalam urus niaga akan datang, Najib berkata beliau telah pun berbuat demikian. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment