Friday 10 April 2015

Pelancong Malaysia hilang di Nepal

Gambar hiasan

KATHMANDU - NEPAL. Seorang pelancong Malaysia dilaporkan hilang sejak tengah hari Ahad waktu tempatan (Malaysia adalah dua jam, 15 minit lebih awal daripada Nepal), ketika merentas laluan Pokhara-Mustang di Barat Nepal. 

Timbalan Ketua Polis Nepal, Pankaj Shrestha, berkata kali terakhir Dennis Lee Thian Poh, 47, dilihat ialah pada Ahad di Ghorepani, daerah Myagdi, kira-kira 450 kilometer (km) di barat laut Kathmandu. 

Dua pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang dibantu oleh sebuah helikopter dan anjing pengesan ditugaskan mencari Lee, katanya pada Khamis.

"Carian sedang dijalankan di seluruh laluan dari Pokhara ke Mustang tetapi tumpuan adalah di kawasan antara Ghandruk dan Ghorepani," kata Shrestha. 

Lee tiba di Kathmandu pada 29 Mac lepas, dan merentas bersama-sama sebuah kumpulan dari Holiday Tibet Trekking Company.

"Dennis (Lee) sendirian mendahului kumpulan merentas itu dan tiada siapa menyedari kehilangannya sehingga mereka tiba di tapak perkhemahan mereka," kata SAR Dogs Nepal, syarikat mencari dan menyelamat dalam laman webnya yang turut memaparkan notis kehilangan lelaki itu.

"Dua pasukan telah dihantar untuk melakukan carian tetapi hanya satu pasukan berjalan kaki melakukannya kerana carian udara terjejas akibat cuaca buruk.

" Helikopter (itu) tidak mampu terbang ke kawasan-kawasan berkenaan kerana langit berkabus," kata Pengarah SAR Dogs Nepal, Jit Bahadur Mairangi. 

Isteri Lee, Jennifer E Peters, yang baru tiba di Kathmandu menyelaraskan gerakan carian itu.

"Saya tidak berada dalam kedudukan untuk berkata apa-apa kerana saya baru sahaja tiba, dan saya akan ke kawasan berkenaan bersama-sama pasukan mencari dan menyelamat," kata Peteras dalam perbualan telefon singkat dengan Bernama.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu yang mengesahkan laporan itu, berkata pihak berkuasa Nepal saling berhubung dengan kedutaan mengenai kejadian itu sejak malam Isnin.

Kaunselor/Kuasa Usaha Sementara kedutaan itu Fadli Adilah berkata Lee masih belum dijumpai.

"Kami sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa yang berkaitan," katanya ketika dihubungi.

- Sumber:  Bernama

No comments:

Post a Comment