Friday 10 April 2015

Fast & Furious 7 janji kepuasan



BAGI anda yang mengikuti francais Fast and The Furious, kehadiran sekuel ketujuh filem ini sememangnya dinanti-nantikan. Bahkan sejak filem pertama lagi, filem yang mengangkat kisah perlumbaan kereta ini tidak pernah lagi gagal menarik perhatian penonton ke pawagam.

Apatah lagi, sejak filem Fast & Furious 6 (FF6) menemui peminat pada Mei 2013, sedikit perjalanan siri ketujuh ini sudah dipaparkan di penghujung FF6.

Bahkan di sebalik keterujaan peminat untuk menantikan Fast & Furious 7 (FF7), peminat dikejutkan pula dengan kematian aktor utama filem tersebut, Paul Walker yang maut dalam satu kemalangan pada November 2013.

Lebih pilu, Walker ketika itu sedang sibuk dengan penggambaran FF7 yang baharu sahaja bermula September 2013.

Meskipun tayangan filem ini ditunda kerana kematian Walker, namun ia tetap tidak mematahkan semangat penonton untuk menantikan tayangan filem ini yang sudah pun menemui penonton di Malaysia sejak 2 April lalu dan tayangan di Amerika Syarikat sejak semalam.

Lebih menarik, filem ini turut menyaksikan anak kelahiran Kuching, Sarawak, James Wan, yang juga pengarah beberapa filem seram terkenal seperti Insidious, The Conjuring, Insidious: Chapter 2, diberi kepercayaan untuk menggarap filem aksi ini.

Masih mengekalkan Vin Diesel yang juga penerbit filem ini, FF7 turut mengekalkan beberapa pelakon seperti Dwayne Johnson, Michelle Rodriguez, Jordana Brewster, Tyrese Gibson, Chris Bridges, Lucas Black dan kehadiran bintang terkenal, Jason Statham serta pelakon aksi terkenal Thailand, Tony Jaa.

Biarpun tampak sama seperti siri terdahulu di mana, Dominic dan rakan-rakannya diibaratkan buku bertemu ruas, apabila terpaksa berdepan dengan seorang abang yang penuh dendam dan mempunyai ketangkasan serta kelicikan yang lebih hebat daripada mereka.

Secara ringkasnya, ia mengisahkan misi membalas dendam Deckard Shaw (Statham) terhadap Dominic Toretto (Diesel) dan ahli keluarganya kerana menyebabkan adiknya, Owen Shaw (Luke Evans) lumpuh dalam FF6.

Dalam pada menghadapi dendam Deckard, Dominic bersama Brian O’Conner (Walker), Roman Pearce (Gibson), Tej Parker (Bridges), Letty (Rodriguez) mendapat tugasan khas untuk menyelamatkan seorang penggodam hebat yang diculik.

Selingan dua konflik inilah yang banyak membuatkan adrenalin penonton meningkat dan keterujaan mengiringi sepanjang dua jam 17 minit perjalanan filem ini.

Tidak hanya memaparkan babak perlumbaan kereta semata-mata, siri kali ini juga menyaksikan banyak lagi aksi-aksi di luar batasan pemikiran seseorang.

Boleh dikatakan, ketenangan filem ini hanya dirasai pada 15 minit pertama sahaja sebelum ia disulami dengan aksi kejar mengejar melibatkan pelbagai jenis kenderaan – bas, kereta, kapal terbang dan helikopter.

Antara dua aksi yang menarik perhatian penulis adalah semua kereta pelakon utama membuat ‘terjunan bebas’ di udara, sebelum didaratkan dengan selamat di atas jalan raya.

Ia diikuti aksi sebuah kereta mewah berwarna merah telah menembusi pencakar langit di Abu Dhabi, di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang dilakukan tanpa menggunakan imej janaan komputer (CGI), sebaliknya aksi dilakukan dengan aksi sebenar namun menerusi ketinggian yang lebih selamat.

Seperti biasa, babak aksi kejar mengejar juga menjadi antara tarikan dalam filem ini biarpun penulis merasakan plot filem ini mempunyai beberapa kekurangan ketara, apatah lagi melibatkan penguatkuasaan yang kurang, meskipun bangunan pencakar langit dimusnahkan, Dominic dan rakan-rakan bebas keluar dari UAE begitu sahaja.

Selain Abu Dhabi, filem membabitkan kos hampir RM1 bilion ini turut membabitkan penggambaran di Atlanta, Amerika Syarikat dan Tokyo, Jepun.

Lakonan mantap & 'super impose' 

Selain aksi mantap, seperkara lagi yang menarik mengenai filem ini adalah penglibatan pelakon yang cukup hebat. Ditambah pula kehadiran Statham dalam filem ini, ia dilihat lebih memantapkan lagi filem ini.

Ternyata Statham membuktikan dia boleh membawakan watak apa sahaja, termasuk antagonis dan berjaya membuatkan penonton sakit hati dengan pemburuannya yang bagai tiada kesudahan.

Kemunculan Kurt Russell sebagai seorang pegawai rahsia bernama Mr. Nobody; bersama pelakon Ong-Bak, Tony Jaa biarpun hanya untuk beberapa babak, namun meninggalkan kesan kepada penoton.

Bukan itu sahaja, antara tarikan lain untuk filem ini adalah watak O'Conner yang menggunakan khidmat dua adik Paul iaitu Caleb dan Cody yang membantu menyudahkan watak O'Conner sehingga ke penghujungnya.

Pujian harus diberikan kepada pihak produksi kerana berjaya mencipta klon Paul biarpun masih ternampak perbezaan, namun tidak ketara.

Eksploitasi wanita

Setelah menonton beberapa francais Fast & Furious, penulis berpendapat, FF7 adalah sebuah naskhah yang banyak menjadikan wanita sebagai daya penarik.

Eksploitasi wanita yang berlebihan dalam beberapa babak dilihat tidak mendatangkan kepentingan dalam filem.

Namun semua itu dapat mengatasi babak akhir yang pada penulis amat menyentuh perasaan. Apatah lagi melibatkan babak Dominic bersama O'Conner, terutama sekali apabila Dom sering mengucapkan one last ride yang bermaksud perjalanan terakhir menandakan berakhirnya perjalanan Brian O’Conner.

Selain itu, di sebalik aksi-aksi lasak yang dipaparkan, filem ini tetap mengekalkan mesej hubungan kekeluargaan yang rapat, yang turut dapat dilihat pada babak akhir.

Justeru bagi anda yang belum menyaksikan filem ini, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Fast & Furious 7, di pawagam.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment