Friday 10 April 2015

Dr Mahathir pernah minta bina Jambatan Bengkok - Najib

NAJIB: Dr Mahathir pernah minta bina Jambatan Bengkok. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Mohamad berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya menyuarakan dua perkara dalam satu perbincangan yang pernah diadakan sebelum ini.

Najib berkata Dr Mahathir meminta beliau melaksanakan projek jambatan bengkok yang menghubungkan Malaysia dan Singapura bagi menggantikan Tambak Johor.

Selain itu, Najib menjelaskan Dr Mahathir tidak bersetuju dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan berpendapatan rendah.

“Dia ada satu dua perkara dia nak saya buat. Tapi saya dah beri pandangan atas perkara ini.

“Misalnya dia tak setuju BR1M, dia minta saya buat jambatan bengkok ganti Tambak Johor. Saya dah bagi pandangan atas perkara ini,” katanya ketika ditemu bual dalam program Edisi Khas Soal Jawab TV3, malam tadi.


Najib berkata, dalam pertemuan itu Dr Mahathir tidak membangkitkan isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu secara khusus.

Beliau juga menegaskan kritikan yang diterimanya pada kali ini lebih sengit daripada biasa, namun beliau tetap menerimanya sebagai asam garam dalam politik.

Presiden UMNO berkata, segala kritikan yang dilemparkan kepadanya sedia diterimanya walaupun pedih kerana beliau mengambil tanggungjawab untuk terus memimpin rakyat dan BN.

“Kritikan kali ini lebih daripada biasa, lebih sengit daripada biasa, tetapi saya terimalah. Ini asam garam politik, yang mana bukan semua keadaan akan wujud tenang dan selesa sepanjang masa.

“Sebaliknya, kritikan ini saya terima walaupun pedih, tetapi pokok pangkalnya saya bertanggungjawab kepada rakyat dan parti.

“Selagi rakyat dan parti beri mandat pada saya, meletakkan amanah, saya tetap akan teruskan kepimpinan negara dan parti,” katanya

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment