Sunday 26 April 2015

Selepas 55 tahun berpisah...

Mohd Zin (kanan) dan Rais menunjukkan gambar mereka sewaktu menjalani latihan di Pusat Latihan Rekrut di Port Dickson pada 1956.

Gambar Mohd Zin (kiri) dan Rais yang diambil pada 1956.

TANJUNG KLING - Dua orang bekas tentera yang berkhidmat zaman sebelum merdeka tidak menyangka dapat berpeluang bertemu kembali selepas 55 tahun terputus hubungan.

Kedua-dua mereka, Mohd Zin Husain dan Rais Buyong, masing-masing berusia 79 tahun, bertemu semula selepas, akhbar Sinar Harian memaparkan biodata seorang daripada mereka dalam satu ruangan khas.

Mohd Zin, yang kini menetap di Kampung Batang Tiga, di sini berkata, dia sebelum ini memang tercari-cari di manakah rakannya itu namun tidak menyangka secara tiba-tiba terbaca dalam satu ruangan di Sinar Harian tentang majlis persaraan rakannya yang berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pulau di Sri Menanti.

“Saya memang pembaca setia Sinar Harian sejak dari awal lagi, tidak sangka tiba-tiba saya terbaca kisah mengenai Rais tiga bulan lalu. Dalam laporan itu, turut memaparkan nombor telefon, jadi saya terus menghubunginya tetapi tidak berjawab.

“Selepas gagal menghubunginya melalui telefon, saya terus ke Sri Menanti untuk mencarinya menerusi alamat tertera di akhbar dan akhirnya kami berjumpa semula,” katanya ketika kedua-duanya bertemu di rumah anak kepada Rais di Kampung Lereh, di sini, semalam.

Mohd Zin berkata, sebaik bertemu masing-masing bercerita tentang keluarga termasuk mengimbas kembali kenangan sewaktu berkhidmat di dalam tentera suatu ketika dahulu.

“Saya berkahwin, dikurniakan tujuh orang anak menetap di Batang Tiga manakala Rais pula dikurniakan enam orang anak dan tinggal di Sri Menanti, Negeri Sembilan.

“Menariknya, saya ada seorang anak yang mengikut jejak saya menjadi tentera dan kini sudah bersara, manakala seorang anak Rais menjadi tentera dan juga sudah bersara,” katanya.

Mengimbas kembali detik permulaannya di dalam bidang tentera, Mohd Zin berkata, mereka mula berkhidmat dengan Askar Melayu DiRaja selepas mengikuti latihan rekrut di Pusat Latihan Rekrut Port Dickson, pada Januari 1956. Ketika itu kedua-duanya berusia 18 tahun.

“Setelah enam bulan, kami tamat kursus, saya dan Rais di tempatkan di Batalion ke-5, Askar Melayu Diraja di Kem Batu 3 Kluang, Johor. Kami sama-sama dalam satu kompeni, sama-sama menjalankan operasi memburu saki baki pengganas komunis di Mentakab, Pahang, Slim River dan beberapa lokasi lain.

“Paling tidak dilupakan apabila sewaktu bertugas di Seremban, kompeni saya beroleh kejayaan apabila membunuh empat pengganas komunis termasuk seorang wanita pada 1958.

“Sebaik merdeka, kami ditugaskan di Kuala Lumpur dalam unit kawalan istiadat Yang Dipertuan Agong Pertama ketika itu.

“Pada 1960 kami berpisah apabila Rais ditugaskan di Rejimen Infantri Singapura namun selepas Singapura keluar daripada Malaysia pada 1965, Rais ditukar ke Batalion ke-10 Askar Melayu Diraja.

“Manakala saya pula bertugas di unit polis tentera (MP) di Kuala Lumpur pada 1964 sebelum bersara empat tahun kemudian, namun detik paling saya ingat juga sewaktu terjadinya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 di mana saya ditugaskan untuk mengiringi orang kenamaan” katanya.

Sementara itu, Rais berkata, dia mula bersara pada 1977 di Kem Terendak, Melaka.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian yang memaparkan tentang majlis persaraan saya selepas berkhidmat sebagai Pengerusi JKKK selama sembilan tahun dan kerana laporan itu, kami dapat bertemu kembali.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dan Persatuan Veteran ATM kerana membantu untuk mendapatkan alat bantu pendengaran untuk kegunaan saya,” katanya.

Menurut Rais juga, dia amat menghargai sekiranya ada rakan-rakan lamanya dulu yang masih hidup supaya dapat bertemunya dengan menghubungi talian 019 692117 (Mohd Zin) dan 06 4976137(Rais).

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment