Sunday 26 April 2015

Angka korban akibat gempa bumi Nepal melepasi 1,000 nyawa

Pusat Kajian Gempa Amerika Syarikat (USGS) berkata gegaran kuat dirasai di negara Banjaran Himalaya itu dan sebahagian kawasan di India.

KATHMANDU: Angka korban akibat kejadian gempa bumi kuat di Nepal pada Sabtu dijangka terus meningkat dengan angka terbaru sehingga pukul 12.00 malam (waktu Malaysia) dilaporkan melepasi 1,000 nyawa.

“Jumlah korban berdasarkan rangkaian maklumat polis di seluruh negara kini 1,170 orang,” kata jurucakap polis kebangsaan negara itu, Kamal Singh Bam kepada agensi berita AFP.

“Kematian dilaporkan daripada semua wilayah di negara ini kecuali di kawasan barat jauh. Semua anggota keselamatan telah dihantar bagi kerja-kerja menyelamat dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya lagi.

Ekoran malapetaka itu, kerajaan Nepal turut mengiystiharkan keadaan darurat di negara pergunungan Himalaya itu.

Gempa bumi kuat yang berukuran 7.9 pada skala Richter itu berlaku pada Sabtu pukul 2.45 petang waktu Malaysia, sehingga telah menyebabkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.

Sementara itu, laporan berita turut melaporkan beberapa pasukan pendaki dipercayai hilang akibat salji runtuh di gunung tertinggi di dunia itu berikutan gempa bumi tersebut.

Negara jiran Nepal, India turut merasai gegaran kuat terutama di kawasan utara India susulan kejadian gempa bumi yang berpusat kira-kira 77 kilometer dari ibu negara Nepal, Kathmandu.

Pusat Kajian Gempa Amerika Syarikat (USGS) sebelum itu berkata gegaran kuat dirasai di negara Banjaran Himalaya itu dan sebahagian kawasan di India.

Beberapa kerosakan dilaporkan berlaku termasuk laporan bangunan runtuh di Kathmandu.


Terbaru, lapor CNN-IBN, sebuah bangunan sembilan tingkat musnah teruk sehingga hampir menjadi debu akibat gempa tersebut.

Seramai 400 orang dilaporkan terperangkap di dalam runtuhan tersebut.

Sementara itu, seorang pelancong Malaysia, Citanurhani Hussin yang sedang bercuti bersama rakan-rakannya, turut merasa gegaran tersebut meskipun berada di Agra, India.

Beliau yang berada di sebuah hotel di wilayah tersebut berkata, pengunjung restoran di hotel tersebut telah bergegas keluar sejurus selepas merasa gegaran itu.

- Sumber: AFP |  Kemas kini: April 26, 2015

No comments:

Post a Comment