Sunday 26 April 2015

Gempa bumi Nepal: Semua rakyat Malaysia selamat

Gempa bumi Nepal: Semua rakyat Malaysia selamat menurut Wisma Putra - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri mengesahkan semua rakyat Malaysia yang berada di kawasan gempa bumi yang telah melanda Nepal dan kawasan India Utara berada dalam keadaan selamat.

Dalam satu kenyataan Kementerian Luar Negeri, laporan awal telah diterima daripada Kedutaan Besar Malaysia di Katmandu dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi yang telah menghubungi rakyat Malaysia yang berdaftar dan semuanya selamat.

"Kedutaan Besar Malaysia di Katmandu juga melaporkan masih terdapat lagi gegaran-gegaran kecil yang masih berterusan di sesetengah bahagian di Katmandu.

"Sungguhpun dilanda runtuhan salji, pasukan pendakian Everest Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang sedang berada di kawasan Everest Base Camp juga dilaporkan selamat," kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu lagi, Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia di Katmandu juga menggesa rakyat Malaysia yang berada di Katmandu dan kawasan-kawasan yang terlibat supaya bertenang.

"Semua perlu memastikan berada di tempat yang selamat dan memberikan kerjasama penuh serta mengikut arahan pihak berkuasa Nepal.

"Ini kerana perkhidmatan telekomunikasi dan lain-lain perkhidmatan sedang digerakkan sepenuhnya bagi membantu operasi menyelamat yang sedang berlangsung," ujar kenyataan itu.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Othman Hashim memberitahu, Kedutaan Malaysia di Kathmandu sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa tempatan di Nepal sama ada terdapat rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi yang melanda negara itu.

Katanya, pihak kedutaan akan berusaha memeriksa semua hospital, klinik dan rumah perlindungan selain mendapatkan maklumat dengan pihak berkaitan bagi memastikan jika ada warga Malaysia yang menjadi mangsa. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment