Sunday 26 April 2015

Ibu terkejut polis hantar basikal, baju arwah anak

Ku Syafini (kiri) tidak dapat menahan sebak ketika menerima kunjungan dari rakan suaminya yang turut membantu. Gambar kecil: Afiq Shuhairie.

IPOH - Seorang remaja ditemui lemas ketika mandi bersama-sama lapan rakannya di Pusat Rekreasi Ulu Kinta berhampiran Empangan Sultan Azlan Shah di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa, Afiq Shuhairie Abdullah Sani, 14, yang berasal dari Taman Perpaduan di sini, tiba-tiba hilang ketika sedang mandi-manda di sungai berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa berjaya ditemui 10 minit kemudian oleh sekumpulan 15 pelatih dari 69 Komando yang kebetulan sedang menjalani latihan berhampiran lokasi kejadian.

Pegawai Bertugas Bridged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Sub Inspektor Saidu Kenci Mohamad berkata, kumpulan 69 Komando yang diketuai Sarjan Mejar Omar Jayus terdengar jeritan rakan mangsa sebelum menghulur bantuan bersama Orang Asli berhampiran.

“Mangsa dijumpai kira-kira 10 minit kemudian sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan dan mangsa disahkan meninggal kira-kira jam 1.20 petang. Jenazah kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Ku Syafini Ku Ahmad, 31, tergamam mengetahui kematian anak sulungnya itu ketika polis hantar basikal dan baju miliknya selepas dia pulang kerja.

“Hanya ALLAH tahu perasaan ketika itu bila polis hantar basikal dan baju milik adik (panggilan mangsa) dan memaklumkan dia meninggal dunia lemas di sungai.

“Saya terus ke Klinik Tanjung Rambutan sebelum tengok jenazah adik. Saya tak tahu dia mandi di sungai,” katanya ketika ditemui di pekarangan HRPB di sini.

Katanya, jenazah anak sulungnya itu akan dibawa ke kampung halaman di Kodiang, Kedah untuk dikebumikan setelah suaminya, Abdullah Sani Azizan, 34, yang bertugas di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) pulang.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment