Thursday, 12 March 2015

Tiga rentung dalam kemalangan jalan raya di Melaka

Tiga rentung manakala tiga lagi cedera parah dalam satu kejadian kemalangan sebuah kereta di KM168 di Lebuhraya Utara-Selatan. Foto Bernama

TANGKAK: Tiga rentung manakala tiga lagi cedera parah dalam satu kejadian kemalangan membabitkan sebuah kereta di KM168 di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Plaza Tol Tangkak.

Menurut Ketua Polis Ledang, Supt Saleh Abdul Razak, di dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 pagi itu, sebuah kereta jenis KIA Spectra dari Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru bersama enam penumpang dikatakan telah melanggar kenderaan lain.

Setakat ini, kesemua mangsa sedang dikenal pasti dan salah seorangnya berasal dari Puchong, Selangor.

“Siasatan yang kita jalankan di tempat kejadian mendapati ada tiga wanita cedera parah berumur antara 17 tahun hingga 22 tahun. Mereka telah dihantar ke Hospital Muar untuk rawatan.

“Kita juga dapati ada tiga mayat lelaki yang rentung di dalam kereta. Kita masih mencari identiti mereka, bagaimanapun kita sudah mendapat alamat bagi salah seorang daripada mangsa tersebut,” kata Saleh.

Menurutnya, pihak polis belum dapat mengesan kenderaan yang dilanggar kerana setakat ini, belum ada menerima laporan tentang kejadian kemalangan yang melibatkan kereta tersebut .

Kata Saleh, mangsa telah rentung akibat bahagian hadapan kereta tersebut terbakar dan mereka tidak dapat menyelamatkan diri kerana pemandu, penumpang sebelah kiri dan penumpang di bahagian tengah tersepit.

Menurutnya lagi, pihak polis dan pasukan bomba bergegas ke tempat kejadian tetapi ketiga-tiga mangsa telah hangus terbakar.

Ketiga mangsa wanita yang cedera parah telah dibawa ke Hospital Muar bagi mendapatkan rawatan manakala mangsa rentung tersebut dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat.

Polis kini sedang menyiasat kemalangan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment