Thursday, 12 March 2015

Bung ada gaya Ketua Pembangkang, kata MP PKR

Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin disifatkan mempunyai gaya Ketua Pembangkang ketika berhujah di Dewan Rakyat, hari ini.

Melalui sesi membahas titah Yang di-Pertuan Agong, Bung menegur Kementerian Pendidikan atas kegagalan menguruskan pembinaan sekolah di beberapa kawasan di negeri Sabah.

Hujah yang dilihat menjentik kerajaan dan seolah-olah mewakili pembangkang itu menyebabkan Manivanan Gowin (Kapar-PKR) memuji Bung.

"(Bung) ada gaya Ketua Pembangkang," kata Manivanan sebaik Bung berhenti berhujah seketika sebelum menyambung kembali hujahnya.

Melalui hujahnya, Bung berkata bukan setakat di Kinabatangan sahaja, ada beberapa kawasan lain di negeri sabah turut menanti sekolah dibina.

"Soal pendidikan. Saya mintalah...kalau saya cakap kuat-kuat, ada orang tidak tegur saya. Pendidikan di Sabah ini, susah. Sekolah terbakar, mengambil masa sampai sekarang. Sudah tujuh tahun...lapan tahun tidak dibina.

"Sekolah masih ada (yang) di bawah kolong...sekolah masih tidak ada bumbung. Sekolah (menengah) sudah dirancang untuk dibina di Sukau, Kinabatangan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu itu sudah dirujuk dengan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Madinah Mohamad namun masih belum dapat diselesaikan.

"Saya pun tidak tahu...saya sudah bercakap dengan KSU, dengan menteri (Menteri Pendidikan) tidak juga selesai. Tidak tahu bila boleh selesai.

"Saya harap kementerian pendidikan ambil perhatian dan selesaikan isu sekolah-sekolah. Bukan saja di Kinabatangan...di Tuaran...di Nabawan.

Dalam media sosial kita boleh lihat...kesian orang Sabah ini," katanya.

- Sumber: Sinar Harian  

    No comments:

    Post a Comment