Thursday 12 March 2015

'Coklat muka babi? Itu bukan Cadbury Malaysia punya'

Coklat muka babi? Itu bukan Cadbury Malaysia yang punya - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Cadbury Malaysia menafikan coklat jenis Cadbury Milk Kids 20g yang tertera gambar babi adalah produk keluarannya.

Ketua Perhubungan Hal Ehwal Korporat Cadbury, Raja Zalina Raja Safran berkata, ia merupakan produk import dan bukan dihasilkan di negara ini.

"Produk ini diimport pihak ketiga yang bebas mengimport mana-mana produk keluaran luar negara.

"Pengimportan atau pembelian mana-mana coklat keluaran Cadbury oleh pihak ketiga adalah di luar kawalan pihak Cadbury Malaysia dan kami tidak mempunyai hak untuk menyekat mahupun mengawal mana-mana pihak yang ingin membeli dan menjual produk-produk tersebut.

"Sekiranya pengguna ingin maklumat lanjut tentang produk tersebut sila hubungi pihak penjual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Coklat Cadbury yang memapar muka babi dikatakan tersebar di pasaran tempatan dan menimbulkan kebimbangan masyarakat - Gambar Facebook Rashidah Yusoff

Jelas Zalina coklat Cadbury keluaran Malaysia adalah dijamin halal dan pengguna dinasihatkan hanya memilih coklat Cadbury keluaran Malaysia bagi mengelak berlakunya sebarang pembelian yang mengelirukan.

"Kami ingin meyakinkan para pengguna bahawa kesemua Coklat Cadbury yang diperbuat di Malaysia mematuhi Sijil Halal Malaysia dan ia merangkumi lokasi dan bahan-bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran produk berkenaan.

"Jadi nasihat kami, pengguna harus memilih Coklat Cadbury keluaran Malaysia," jelasnya.

Isu gambar yang tersebar di media sosial tentang Cadbury Dairy Milk Button sebenarnya sudah tersebar sejak tahun lalu.

“Kami ingin meyakinkan para pengguna bahawa kesemua Coklat Cadbury yang diperbuat di Malaysia mematuhi Sijil Halal Malaysia dan ia merangkumi lokasi dan bahan-bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran produk berkenaan. 
- Cadbury Malaysia


Sebelum ini, di dalam sebuah portal, Cadbury Malaysia memaklumkan menjelaskan bahawa produk tersebut adalah produk vegetarian yang dihasilkan di United Kingdom dan diimport oleh peruncit bebas.

"Kami menasihatkan pengguna untuk merujuk kepada pembungkusan untuk maklumat asal produk," kata portal berkenaan.

Sebelum ini Presiden, Kesatuan Ilmuwan Islam dan Pendakwah Dr. Zaharuddin Abd Rahman dilaporkan berkata, coklat Cadbury yang dihasilkan di Malaysia adalah mematuhi garis panduan ketat yang diperkenalkan JAKIM dan JAIS.

"Begitu banyak perhatian ditumpukan kepada seluruh proses pengeluaran di kilang ini bagi memastikan kebersihan mesin dan kebersihan pengendalian bahan mentah.

"Maka, tiada sebarang kemungkinan perkara-perkara yang luar biasa boleh berlaku. Kami juga dimaklumkan bahawa 80 peratus daripada pekerja yang memberi khidmat dalam kilang tersebut merupakan Muslim dan sebahagian daripada mereka telah bekerja di kilang Cadbury melebihi 20 tahun.

"Saya fikir penting untuk kita maklum bahawa jenama ini akan terus bekerjasama secara erat dengan pihak-pihak berkuasa yang berkenaan dan mematuhi proses kualiti dalaman yang diperlukan," katanya.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment