Saturday, 14 March 2015

Nekad terjun bangunan rumah kedai

Sebuah keluarga Pati termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 bulan turut ditahan dalam operasi tersebut.

JITRA - Tindakan bahaya beberapa pendatang tanpa izin (Pati) dengan terjun dari tingkat satu bangunan rumah kedai bagaimanapun berjaya dipatahkan penguat kuasa Jabatan Imigresen Kedah dalam Operasi Sapu dan Operasi Pintu di Simpang Tiga Kemboja, Ayer Hitam di sini, awal pagi semalam.

Dalam operasi itu, penempatan Pati di sekitar kawasan kampung turut menjadi sasaran Jabatan Imigresen Kedah dalam Operasi Sapu dan Operasi Pintu yang dilakukan.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, hasil risikan dan maklumat awam seramai 39 warga Myanmar dan Bangladesh termasuk kanak-kanak berjaya ditahan dalam operasi membabitkan kawasan Kodiang, Jerlun dan Alor Setar.

Menurutnya, dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi yang diketuai Penolong Pengarah Imigresen Kedah, Nar Azaman Ibrahim telah melakukan pemeriksaan ke atas 48 individu yang disyaki Pati.

“Dalam operasi selama tiga jam, kali ini kita lakukan pemeriksaan di beberapa rumah kawasan kampung yang menjadi penempatan Pati untuk bersembunyi.

“Modus operandi Pati buat masa ini adalah dengan menyewa di luar kawasan mereka bekerja untuk mengelak daripada ditahan. Bagaimanapun hasil kerjasama antara imigresen dan aduan penduduk setempat kita berjaya menghidu helah mereka,” katanya.

Mohamad Yusri berkata, daripada jumlah yang ditahan 25 adalah lelaki, tujuh wanita dan tujuh orang kanak-kanak.

“Kesemua mereka berusia antara 20 hingga 40 tahun, manakala kanak-kanak berusia dalam lingkungan 10 bulan hingga 10 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) kerana tiada dokumen dan pas yang sah untuk tinggal di negara ini,” katanya.

Kesemua Pati itu ditahan di lokap Jabatan Imigresen Negeri Kedah di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Alor Setar, untuk siasatan lanjut sebelum di serahkan ke Depoh Imigresen Belantik, Sik, dekat sini.

Sementara itu Mohamad Yusri berkata, pihaknya berharap orang ramai terus salur maklumat mengenai kewujudan Pati dalam usaha pihaknya memerangi golongan tersebut.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment