Saturday, 14 March 2015

Insiden diganggu: Daniella sebar kesedaran, Uber ambil tindakan

Daniella berharap insiden yang terjadi padanya jadi iktibar buat semua. - Foto sumber Daniella Sya

KUALA LUMPUR: Insiden seorang model dan juga pelakon Daniella Sya, 26, yang mendakwa dirinya diganggu pemandu selepas menaiki kereta sewa syarikat Uber kecoh diperkatakan di Internet.

Ia menjadi heboh selepas personaliti tersebut bertindak memuat naik paparan mesej komunikasi pemandu berkenaan yang di luar batas profesional ke media sosial.

Menurut cerita personaliti itu, dia telah menggunakan perkhidmatan tersebut pada 26 Februari lalu. Pada awalnya tiada apa yang berlaku memandangkan dia selamat tiba ke destinasi tujuannya.

Dua minggu kemudian, pada 3 Mac jam 11 malam, dia menerima pesanan teks daripada pemandu yang sama dan ia disifatkan sebagai percubaan untuk memulakan perbualan santai dengannya.

Daniella merasakan bahawa insiden itu melanggar privasinya. Dia mendakwa pemandu berkenaan telah menyalahgunakan nombor tersebut untuk mengenalinya, dan lebih mengejutkan, insiden seumpama itu adalah kali ketujuh terjadi kepadanya.

“Mereka sering meninggalkan komen pada gambar saya di WhatsApp, atau di mana-mana saja mereka terjumpa gambar saya. Ia berbunyi “Hi, cantik gambar profil” atau “Hei, bagaimana kehidupan sekarang?

“Secara amnya, mereka cuba pelbagai cara untuk memulakan perbualan,” ujar Daniella yang sebelum ini mengabaikan sahaja ‘gangguan’ mereka.

Mengulas mengenai tindakan pemandu-pemandu yang terus mengganggunya di medium komunikasi sosial, Daniella mengakui telah melakukan kesilapan.

“Saya silap bukan saja kerana mengabaikan tindakan mereka, malah saya tidak membuat laporan kepada pihak berwajib. Saya rasa dengan tidak bertindak apa-apa itu satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

“Namun, selepas rasa diganggu entah kali ke berapa, dan walaupun ‘orang yang tidak dikenali’ yang sering meninggalkan komen ini saya ‘block’, masalah tetap tidak selesai. Hinggalah kali akhir saya menerima pesanan teks (pada 3 Mac lalu), itulah masanya saya nekad untuk lakukan sesuatu,” katanya kepada Astro AWANI.

Kuasa media sosial

Menurut Daniella, generasi masa kini terkenal dengan sikap mendokumentasi setiap perkara kecil yang berlaku. Setiap perasaan individu, menurutnya, terzahir dan menjadi hidup dalam dunia media sosial.

“Maka, saya lakukan apa yang pemilik akaun Facebook lain lakukan – saya kongsikannya!” ujar Daniella yang menyatakan memang tiada cara lain yang lebih baik untuk dapatkan perhatian lebih-lebih lagi dia sendiri tidak tahu cara untuk menghubungi syarikat perkhidmatan teksi tersebut.

Tambah Daniella, perkara yang menyusul selepas itu adalah mengejutkan. Dia menerima banyak maklum balas dari pengguna perkhidmatan kereta sewa atau teksi yang menyatakan bahawa mereka juga pernah mengalami nasib serupa.

“Saya menerima pelbagai respon. Ada yang positif mengatakan bahawa mereka gembira saya telah menyuarakannya. Malang sekali, ada juga yang ketakutan mengenai kemungkinan tindak balas daripada pemandu berkenaan, lebih-lebih lagi mereka tahu di mana saya tinggal,” ujarnya.

Daniella juga berpendapat ramai wanita yang menerima gangguan atau penindasan sering saja mendiamkannya kerana terdapat kekangan mentaliti yang mengatakan hal itu tidak akan dipandang serius atau memalukan diri sendiri sekiranya disuarakan.

“Perkara yang membimbangkan sebenarnya adalah terlalu banyak rasa takut disebarkan berbanding rasa peduli,” kata Daniella yang akhirnya mengadu tentang insiden tersebut kepada syarikat Uber melalui e-mel sehari selepas kejadian.

Menurutnya, dia kemudiannya telah menerima balasan e-mel dan juga panggilan pihak Uber yang meminta maaf dan menjelaskan bahawa pemandu berkenaan sudah digantung daripada tugas serta siasatan telah dijalankan.

Daniella mengakui, tindakan yang dilakukannya itu adalah kerana dia tidak mahu hanya berdiam diri tentangnya dan berharap setiap anggota masyarakat mengambil langkah proaktif.

Mengulas mengenai keselamatan wanita dalam menggunakan perkhidmatan penghantaran seumpamanya, Daniella yakin bahawa semua orang perlu melihatnya dari sudut penambahbaikan dari segenap sudut.

“Masalah yang terjadi sebenarnya ada hikmah kerana ia bermakna kita mempunyai peluang untuk melaksanakan sesuatu dengan lebih baik.

“Saya juga yakin pihak Uber mempunyai sumber untuk melabur dalam membangunkan pasukan operasi, pengurusan dan prosedur keselamatan yang lebih baik sekali gus memastikan perlindungan data pelanggan dan pemandu,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Daniella tetap berterima kasih kepada ramai lagi pemandu lain yang bertugas dan mencari rezeki dengan jujur, beretika dan dipercayai.

“Golongan inilah yang membuatkan saya masih percaya pada masyarakat kita. Ada banyak cara kita boleh memperbaiki keadaan semasa dan perubahan ke arah lebih baik itu memerlukan penglibatan kita semua,” ujar Daniella yang turut menyatakan kesediaannya untuk menyokong dan terlibat dalam mana-mana kempen mengenai hak dan keselamatan wanita.

Uber ambil langkah serius

Sementara itu, jurucakap dari syarikat Uber ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu, sejurus selepas menerima maklumat tentang pemandu mereka yang didakwa menghubungi penumpang tanpa keperluan selepas tamat perjalanan, akaunnya telah serta-merta digantung untuk menjalankan siasatan.

“Pasukan kami telah menghubungi penumpang tersebut pada kadar segera dan bekerjasama untuk mencari penyelesaian dalam perkara tersebut.

“Uber berpegang pada polisi tiada toleransi atas kelakuan yang tidak bersesuaian dan sangat komited terhadap keselamatan dan keselesaan penumpang. Atas sebab itulah kami berusaha memastikan kualiti terbaik dalam setiap lebih sejuta perjalanan yang kami kendalikan sehari di seluruh dunia,” ujarnya.

Pada masa yang sama aplikasi Uber mempunyai ciri khusus untuk memastikan keselamatan dan akauntabiliti seperti membekalkan maklumat pemandu dan penarafan , supaya penumpang sentiasa tahu siapa yang datang menjemput mereka.

Uber juga mempunyai sistem maklum balas dan penilaian mandatori bagi memastikan setiap perjalanan dinilai.

“Uber juga akan memiliki penyelesaian terbaharu tidak lama lagi untuk mengekang sebarang komunikasi antara pemandu dengan penumpang selepas perjalanan,” ujar jurucakap berkenaan.

- Sumber: Astro Awani  

No comments:

Post a Comment