Saturday 14 March 2015

Majlis Peguam akur injuksi Shafee

Christopher Leong

KUALA LUMPUR - Majlis Peguam Malaysia tidak akan membentangkan usul mengenai kelakuan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung rayuan kes liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan itu, hari ini.

Presidennya, Christopher Leong berkata, pihaknya akan mematuhi terma injunksi interim ex-parte yang dikemukakan Muhammad Shafee kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad, semalam.

"Kami telah menerima injuksi itu, kami akan mematuhi terma dan kami tidak akan bentang usul tersebut," katanya kepada pemberita di lobi Renaissance Hotel, di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Shafee yang juga ketua pendakwaraya kes liwat II berjaya menghalang Majlis Peguam atau presidennya atau melalui ejen mereka daripada membenarkan usul itu dikemukakan, dibincang atau diluluskan semasa AGM.

Injuksi itu juga menghalang pihak Majlis Peguam daripada membincangkan apa-apa perkara berkaitan kelakuan Muhammad Shafee dalam rayuan oleh Anwar di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada 14 Mac 2015 atau mana-mana tarikh lain selepas itu.

Hakim juga membenarkan injunksi interim ex-parte Muhammad Shafee menghalang peguam Tommy Thomas dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri V. C. George atau melalui ejen-ejen mereka daripada mengemukakan usul bertajuk "Usul terhadap Shafee Abdullah bertarikh 28 Februari, 2015" atau usul yang serupa pada AGM ke-69 Majlis Peguam, pada 14 Mac atau pada mana-mana tarikh lain kemudian.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment