Saturday, 14 March 2015

Banjir Kelantan: Jambatan konkrit turut punah akibat banjir


Ikuti perjalanan dua wartawan di Kelantan yang cuba mengesan punca banjir besar di negeri itu dan jika pembalakan antara puncanya.


KUALA LUMPUR: Berdiri di tebing sungai yang airnya mengalir lesu, sukar untuk penulis menggambarkan bagaimana jambatan konkrit yang merentangi Sungai Nenggeri selebar 300 meter itu boleh menyembah bumi.

Cuma yang tinggal hanya tiang konkrit dan 'urat-urat' besi sebagai bukti di situlah pernah bertapak Jambatan Pulau Setelu. Betapa deras agaknya air sungai sehingga boleh meruntuhkan jambatan yang telah berdiri teguh selama kira-kira 30 tahun?

Ini antara persoalan yang berlegar dalam minda penulis sambil menghitung kereta yang terpaksa berpatah balik sebaik menghampiri jambatan yang sudah runtuh.

Mereka yang lazimnya menggunakan Jambatan Pulau Setelu ini sebagai jalan pintas untuk ke Jeli terpaksa menukar laluan kepada jalan yang lebih jauh.

Sebagai alternatif, mereka perlu melalui Dabong dan Tanah Merah dengan masa perjalanan bertambah kira-kira sejam untuk ke destinasi sama. Jambatan yang runtuh ini dan terletak kira-kira setengah jam perjalanan dari Gua Musang adalah antara kemusnahan besar yang berlaku apabila banjir melanda kawasan sekitarnya selama seminggu.

Yang paling terkesan ialah penduduk di Kampung Setelu di seberang sungai ke arah Jeli dan penduduk di Kampung Star di seberang sungai ke arah Gua Musang.

BOT SEBAGAI GANTI

Mahu tidak mahu, penduduk kampung sekitar Jambatan Pulau Setelu terpaksa menjadikan bot sebagai sumber pengangkutan utama mereka untuk mendapatkan bekalan harian mereka dari kawasan Gua Musang.

Penulis yang 'berkampung' beberapa hari di kawasan berkenaan mendapati kanak-kanak sekolah turut terpaksa menggunakan bot untuk ke sekolah.

Seawal pukul 5.00 pagi, kira-kira 100 kanak-kanak terpaksa mempertaruhkan nyawa, menaiki bot kecil yang perlu meredah arus deras sungai untuk ke seberang.


Mokhtar Dahari, 34, pemandu bot di sungai itu memberitahu Bernama, sebuah sekolah menengah dan sebuah sekolah rendah bagi menampung keperluan pendidikan kawasan sekitar.

Pelajar-pelajar sekolah itu, katanya, perlu menggunakan bot untuk berulang-alik selepas Jambatan Pulau Setelu runtuh. Mokhtar berkata, pernah sekali bot yang dipandu sahabatnya terbalik ketika merentasi sungai itu kerana arus deras yang tidak menentu.

"Mujur kawan saya bawa bot yang dipenuhi barang-barang. Bayangkanlah jika bot itu membawa pelajar sekolah.

"Bagaimanapun, kami sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika merentasi sungai Nenggiri ini agar perkara sebegini tidak berlaku," katanya.



BALAK DAN KAYU-KAYAN ANTARA PUNCA

Ditanya mengenai punca Jambatan Pulau Setelu runtuh, Ahmad Ramadhan yang membesar di Kampung Baru Star, terletak kira-kira lapan kilometer dari jambatan, berkata ketika air mulai naik di Sungai Nenggiri, beliau dapat melihat secara jelas kayu balak serta batang buluh yang dihanyutkan arus sungai.

"Mustahil jambatan sekukuh ini boleh runtuh hanya kerana air banjir.

"Saya percaya kayu-kayu yang hanyut ini bukan sahaja menyekat air dan membuatkan air naik dengan laju tetapi menghentam rumah-rumah di sekitarnya sehingga hancur.

"Saudara boleh pergi tengok ada lagi kayu-kayu balak dengan pokok buluh di tebing sungai," katanya.

Seorang lagi penduduk kampung, Hasinah Ibrahim, 43, berkata kayu-kayu yang dihanyutkan mengelilingi jambatan itu sehingga membentuk pulau kecil.

"Kira-kira pukul 2.30 petang kami terdengar bunyi dentuman kuat dan melihat sendiri bagaimana jambatan yang menjadi nadi kehidupan utama di sini musnah," katanya.



KEMUSNAHAN BESAR

Penulis memilih Jambatan Pulau Setelu sebagai contoh kemusnahan besar yang berlaku di Kelantan semasa banjir akibat adanya kayu balak yang hanyut ke dalam sungai.

'Tsunami darat' yang melanda Kelanyan baru-baru ini memusnahkan banyak harta benda malah memaksa lebih 104,000 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir.

Adun Nenggiri, Mat Yusoff Abdul Ghani mendakwa, banjir besar yang berlaku memusnahkan hampir 90 peratus kawasan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri beliau.

"Memang hujan agak luar biasa dan memburukkan keadaan apabila air hujan tidak dapat diserap kerana kawasan hutan telah digondolkan atau ditanam dengan kelapa sawit," katanya.

Beliau yang telah menjadi ADUN selama tiga penggal berkata banjir tahun lepas adalah fenomena yang pertama kali dirasai penduduk Kelantan.
Seorang lagi Adun di Gua Musang iaitu Adun Galas, Ab Aziz Yusoff pula berkata hampir 500 buah rumah di Gua Musang musnah atau hanyut ketika banjir yang disifatkannya sebagai luar biasa itu.

Beliau turut positif penerokaan tanah, sama ada haram atau tidak di Banjaran Titiwangsa di mana banjaran itu mempunyai anak-anak sungai yang bersambung dengan Sungai Nenggiri menjadi antara faktor punca banjir luar biasa.

"Apa yang berlaku khususnya di Banjaran Titiwangsa ialah hutan kita digondolkan melalui aktiviti perladangan, pembalakan sama ada haram ataupun tidak.

"Sepanjang tinjauan saya melalui udara, begitu luas kawasan hutan telah digondolkan dan saya percaya ini punca mengapa air begitu cepat naik sehingga menyebabkan banjir lumpur," katanya.

RUMAH 'BALAK'

Penulis yang berada selama 11 hari di Kelantan, meninjau keadaan pasca banjir, seperti penduduk dan pelawat yang datang dari luar negeri Che Siti Wan Kembang ini sendiri berasa terkejut dengan kemusnahan yang berlaku.

Di Manik Urai, Kuala Krai, ada rumah yang dihempap kayu balak yang dihanyutkan bah sehingga ranap sama sekali.

Rumah itu yang menjadi kediaman Rashid Daud, 47, bersama isteri dan lapan orang anaknya itu kini hanya jadi timbunan kayu-kayan.

Lebih menyedihkan kerana beliau baharu sahaja mengubah suai bahagian dapur rumahnya dengan kos RM10,000 dan siap pada akhir November tahun lepas.

Apa yang pelik, walaupun rumah itu terletak di pinggir sungai iaitu kira-kira 100 meter dari tebing, ia boleh dikatakan agak jauh dari kawasan hutan.

"Kita pun tak agak boleh jadi macam ini. Nak angkat kayu dari rumah ini pula, orang minta RM500 (guna jentolak). Tak tahulah bila nak boleh buat semula rumah ni," katanya.

TERPUTUS HUBUNGAN

Bagi penduduk Orang Asli yang majoritinya menetap di Hulu Kelantan, biar pun banjir itu sudah berlalu dan bantuan sedang diagihkan, harapan mereka ialah agar bencana ini tidak berulang.

Ketua Unit Pembangunan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), daerah Gua Musang, Mohd Zainal Abu Bakar berkata banjir kali ini menyebabkan lebih 1,300 Ketua Isi Rumah (KIR) tergolong sebagai mangsa banjir.

Seramai 113 KIR kini hilang tempat tinggal akibat rumah yang musnah dibadai air lumpur manakala 1,191 KIR pula terputus hubungan akibat tanah runtuh dan jambatan roboh disebabkan banjir.

"Banjir ini menyebabkan kira-kira 24 jambatan roboh yang melibatkan 53 kampung terputus hubungan," katanya.

Menurut Mohd Zainal, di Gua Musang, penduduk di kawasan sekitar terpaksa bergantung kepada pengangkutan air untuk singgah ke pekan malah untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Menurut beliau, sehingga hari ini terdapat 138 pos atau kampung masyarakat Orang Asli di kawasan Gua Musang.

UMPAMA MENGEJAR BAYANG-BAYANG

Isu pembalakan atau penerokaan tanah di negeri Che Siti Wan Kembang secara kolektifnya dipersetujui penduduk kampung yang ia wujud.

Namun, sama ada penerokaan tanah itu dilaksanakan secara halal mahupun haram, perkara berkenaan tidak diketahui mereka.

Yang pasti, kata seorang penduduk di Bandar Lama Gua Musang, Ahmad Kamizi Jalil, 47, kesannya di Hulu Kelantan ini boleh dilihat sama ada dari darat, udara dan air di Hulu Kelantan ini.

"Cerita dia ni tak boleh habis, kita nampak ada, tapi tak boleh buat apa. Macam mengejar bayang-bayang sendiri. Bayangnya ada, tetapi tidak dapat disentuh," katanya.

"Apa yang diharapkan pihak yang bertanggungjawab harus mencari jalan menyelesaikan perkara ini agar banjir seperti ini tidak berulang," tegasnya.
_____________________________________________________________________
*Ini adalah bahagian pertama daripada empat siri rencana mengenai banjir besar yang melanda Kelantan pada akhir 2014.

*Dua wartawan Bernama, Syed Ilya Al-Qadri dan Nik Nurfaqih Nik Wil cuba mengesan punca banjir besar itu dan sama ada pembalakan antara isu yang perlu diberi perhatian.


No comments:

Post a Comment