TUN M: Kuan Yew: Walau tidak rapat, kehilangannya tetap dirasai - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kematian bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew disifatkan kehilangan dan kesedihan terutama bagi rakyat negara itu sendiri.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun diakui tidak beberapa rapat dengan Kuan Yew, namun kesedihannya tetap dirasa.
"Saya tidak berapa rapat dengannya tetapi kematiannya tetap dirasai.
"Saya ikuti zaman kegemilangannya semasa menuntut di Sngapura dahulu. Pada waktu itu Kuan Yew merupakan seorang yang berjuang di dalam kesatuan buruh," katanya dalam catatan terbaharu di dalam blognya http://chedet.cc.
Kata Dr Mahathir, kenangan kali pertama bertemu Kuan Yew adalah selepas Singapura menyertai Malaysia pada tahun 1963.
"Saya jumpa Kuan Yew pada tahun 1963 pada masa saya menjadi Ahli Parlimen semasa itu.
"Saya dan dia banyak berbahas dan bertukar pendapat di Parlimen.
"Menurutnya, saya merupakan antara ultra Melayu yang terlibat semasa rusuhan di Singapura.
"Namun saya sendiri tidak pernah ke Singapura untuk menimbulkan masalah dan biarlah individu yang terlibat dirahsiakan," jelasnya.
Kata Dr Mahathir lagi, persepsi bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman terhadap Kuan Yew berubah apabila parti PAP bertanding pada pilihan raya pertama negara pada 1964.
"Walaupun pada mesyuarat pertama Tunku dan Kuan Yew nampak mesra selain merasakan Kuan Yew sebagai benteng komunisme, ia berubah semasa PAP mahu bertanding dalam pilihan raya pertama negara.
"Pada waktu itu, Tunku merasakan kehadiran PAP akan menjadi gangguan untuk negara," jelasnya.
Ketika mengimbas kenangan sewaktu menjadi Perdana Menteri pada 1981, Dr Mahathir berkata pada waktu itu Kuan Yew mengadakan kunjungan hormat ke Malaysia.
"Kuan Yew bersetuju untuk menyamakan waktu antara dua negara yang memudahkan semua.
"Ia menjadikan Malaysia dan Singapura berada dalam zon waktu yang sama, bagaimanapun ada juga beberapa isu yang tidak mendapat persetujuan dua negara," ujarnya.
Kata Dr Mahathir lagi, antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan apabila Kuan Yew mahu pembedahan jantungnya dibuat di Singapura.
"Dia menghubungi Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan meminta pembedahan itu ditangguhkan kerana mahu ia dilakukan di Singapura.
"Kuan Yew kata dia sudah sediakan pakar dari Australia yang bekerja di Singapura untuk melakukan pembedahan itu.
"Namun saya sudah berada di bilik pembedahan dan dibedah pada hari berikutnya. Dr Hasmah juga menghubunginya pada hari selepas itu untuk meminta maaf," katanya.
Namun apabila Kuan Yew sakit, Dr Mahathir memberitahu mahu berjumpa dengannya namun pesanan Pesuruhjaya Tinggi Singapura memberitahu tidak dapat memenuhi permintaan itu.
"Kuan Yew sangat sakit pada masa itu dan tidak dapat bertemu saya," katanya.
Katanya lagi, sekeping gambarnya bersama Kuan Yew di Tokyo semasa menghadiri persidangan 'Masa Depan Asia' menjadi spekulasi yang agaak hangat pada waktu itu.
"Saya bergambar dengannya, pemberita berkenaan berjanji untuk tidak memasukkan gambar itu di akhbarnya namun sebaliknya berlaku.
"Ia menjadikan pelbagai cerita yang kurang enak didengar selepas persidangan berkenaan," jelasnya.
Jelas Dr Mahathir, kematian Kuan Yew merupakan kehilangan besar sama seperti Bekas Presiden Indonesia, Muhammad Suharto.
"Kuan Yew sudah tiada namun kata-kata dan semangatnya untuk terus berjuang demi kemerdekaan negara akan terus diingat.
"Dia merupakan seorang yang membawa semangat dan tahu nilai sebuah kemerdekaan," katanya.
Kuan Yew meninggal dunia pada Isnin di Hospital Besar Singapura.
Kuan Yew dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital itu pada 5 Februari lalu kerana radang paru-paru yang teruk.
- Sumber: blog http://chedet.cc | melalui Astro Awani
No comments:
Post a Comment