Friday 27 March 2015

Cetak gambar berwarna semakin mati


SEJAK gambar digital menjadi popular di negara ini, permintaan untuk mencetak gambar di kedai foto telah semakin berkurangan sehinggakan para pengusaha kedai foto terpaksa berubah mengikut perkembangan teknologi baharu bagi memenuhi selera pelanggan.

Kini sebahagian daripada pengusaha kedai foto menawarkan beberapa perkhidmatan yang dahulunya tidak pernah mereka bayangkan seperti videografi, perkhidmatan grafik, pengurusan acara dan percetakan buku 'coffee table'.

Apa yang sangat jelas adalah sejumlah besar kedai foto tidak lagi menjual filem atau menawarkan khidmat memproses filem, sebaliknya menawarkan perkhidmatan wifi dan menggunakan alamat internet IP bagi memudahkan pelanggan memuat turun gambar.

Laman sosial turut digunakan secara aktif dalam perniagaan kedai foto kerana ia memudahkan pelanggan mengirim foto-foto mereka untuk dicetak.

Bagi pengusaha kedai gambar Fotolenz Enterprise, Yusri Lebary, berubah kepada teknologi dan perkhidmatan baharu bukanlah sesuatu yang sukar, malah kemajuan teknologi digital dan ICT yang begitu pantas sekarang telah menjadikan beliau lebih teruja untuk membawa pelbagai pembaharuan dalam perniagaannya. 

Usahawan berusia 35 tahun itu baru mengambil alih sepenuhnya operasi kedai gambar FOTO-ZZOOM di Taman Setiawangsa di sini pada tahun lalu dan beliau sudah menukarkan peralatan dan mesin analog kepada mesin digital.

Antara lain kedai gambar Yusri sudah membolehkan para pelanggannya menggunakan bluetooth untuk memuat turun gambar mereka terus ke komputer di kedainya, sekali gus menjadikan perkhidmatan mencetak gambar lebih cepat.

Bermula dengan hanya bekerja sebagai penghantar surat di kedai itu dan kemudiannya menjadi juruteknik sejak 16 tahun lalu, Yusri tidak mempunyai sebarang keraguan untuk mengambil alih perniagaan kedai foto itu daripada bekas majikannya.

"Saya ikut permintaan pelanggan, memasang wifi, guna IP address supaya pelanggan senang untuk memuat turun gambar dan jika pelanggan tidak faham saya sendiri akan membantu, selain memberi khidmat nasihat kepada pelanggan, semua ini dibuat agar saya dapat terus bersaing dalam perniagaan kedai foto", katanya ketika ditemui Bernama di kedainya.

Beliau juga selalu mendapatkan maklum balas daripada pelanggan untuk memberi perkhidmatan terbaik dan cepat kepada pelanggannya termasuk penggunaan laman sosial yang membolehkan beliau menerima gambar-gambar untuk tempahan percetakan daripada para pelanggan menerusi laman sosial.

Bagi pemilik kedai foto Studio Serating, Amir Hamzah Ismail, 43, perkhidmatan fotografi dan studio fotonya tidak lagi tertumpu kepada percetakan gambar kerana perkhidmatan gambar digital lebih mudah dan tidak melibatkan penyelenggaraan mesin cetak.

Pesara TLDM itu yang berkemahiran dalam bidang fotografi dan videografi turut mempelajari bidang rekaan grafik dan studio fotografinya dekat Taman Setiawangsa juga menawarkan percetakan buku coffee table, alternatif kepada foto album yang sebelum ini menjadi tradisi sejak sekian lama.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan kedai foto di Kajang, Selangor sudah tidak lagi menawarkan khidmat memproses filem warna kerana kos memproses dan cetak satu gulung filem warna saiz 4R adalah RM40 dan ia mengambil masa yang agak lama juga.

Syarikat Foto Orient di Jalan Sulaiman, Kajang ialah satu-satunya kedai foto yang masih bertahan menggunakan mesin proses filem warna dan turut menjalankan perkhidmatan mencetak gambar digital.

Pemiliknya yang hanya mahu dikenali Beh, 64, berkata, proses mencetak gambar filem kini menjadi rumit kerana ia melalui proses bancuhan bahan kimia, pengimbas filem dan kos penyelenggaraan mesin yang agak tinggi sementara bekalan bahan kimia pula sukar diperolehi.

Beliau yang membuka kedai gambar lebih 40 tahun lalu, berkata telah melalui pelbagai perubahan dunia fotografi dari zaman filem gentian kaca, filem hitam putih, filem warna dan kini gambar digital dan penggunaan komputer.

Perniagaannya kini diserahkan kepada anaknya Mike, 35, yang arif tentang cetakan gambar digital.

- Sumber:  Bernama

No comments:

Post a Comment