Pertemuan secara tidak sengaja dengan sebahagian rakyat Malaysia yang ketika itu bersama kumpulan Ajnadusy Syam sewaktu dalam perjalanan balik misi bantuan Ramadan Malaysia Life Line for Syria ke markas NGO, tahun lalu. -Foto SYAHRIR AZFAR AL-HALABI
SHAH ALAM – Aktivis yang membawa misi bantuan ke Syria pada Ramadan tahun lalu mengakui ada bertemu dengan sekumpulan rakyat Malaysia yang menyertai jihad di bumi itu termasuk Allahyarham Mohd Lotfi Ariffin atau Ustaz Lotfi.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line for Syria, Syahrir Azfar Al-Halabi berkata, pertemuan tidak disengajakan itu berlaku ketika mereka masih bersama kumpulan Ajnadusy Syam dan belum menyertai IS.
Malah beliau memberitahu, rakyat Malaysia yang terlibat itu turut meminta bantuan dalam bentuk minyak urut dan makanan Malaysia.
“Pertemuan di markas Ajnadusy Syam di Kafr Zeita Hama itu ketika Ustaz Lotfi masih hidup. Apabila kita berada di kawasan itu untuk menghantar bantuan kami terjumpa mereka namun ketika itu masa sangat singkat.
“Mereka ada minta beberapa bantuan daripada kita dari sudut... mereka ada yang cedera, terseliuh dan sebagainya... mereka ada minta kita hantar minyak urut dan makanan-makanan orang Malaysia. Tetapi selepas pertemuan di bulan Ramadan lalu itu, kami tak ada jumpa lagi,” katanya kepada Sinar Online.
Jun tahun lalu, Pas telah menamatkan keahlian Ustaz Lotfi susulan penglibatannya dalam kumpulan militan di Syria dan Allahyarham meninggal dunia 15 September lalu selepas koma lima hari akibat terkena serangan bom pesawat dalam satu pertempuran.
Berkongsi cerita hasil pertemuan tersebut, Syahrir berkata, kebanyakan militan yang terjebak dalam IS itu terpengaruh dengan idea penubuhan negara Islam.
“Kita berusaha mendekati mereka. Ada berhubung dengan mereka. Kebanyakannya mereka yang menyertai IS ini kerana terpengaruh dengan idea untuk menubuhkan negara Islam itu. Ada di antara mereka adalah pelajar. Ada juga yang kehidupannya sebelum itu memang teruk sangat... negatif kemudian mendapat pencerahan.
“Macam salah seorang yang saya kenal, menggunakan nama Abu Afgan. Saya ada jumpa kawan baiknya di Cheras. Kawannya beritahu, Abu Afgan ini dulu seperti ‘Abang Long Besar’ di Bandar Tun Razak dan pernah terlibat dalam satu kes berprofil tinggi. Dia lari ke Thailand, masuk ke pondok dan mendapat idea untuk menjadi pejuang.
“Bukan dia seorang sahaja yang mempunyai latar belakang seperti itu. Ada beberapa orang lagi yang kami kenal, memang latar belakangnya seperti itu... yang menjadikan jihad ini sebagai jalan pintas untuk dia menghapus dosa-dosa lampau... dengan syahid. Memang cita-cita semua orang nak syahid tapi bagaimana dia faham erti dan konsep jihad itu dan bagaimana dia memilih kumpulan jihad yang sebenar,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu soal perancangan pihaknya untuk mewujudkan pusat rehabilitasi di Turki bagi rakyat Malaysia yang tercedera.
“Setakat ini kita belum lagi hantar bantuan yang diminta sebab tidak sempat bertemu lagi. Kita ada perancangan untuk merawat mereka yang tercedera untuk bawa ke Turki. Kita nak wujudkan pusat rehabilitasi untuk rakyat Malaysia yang tercedera.
“Bukan bermakna kita menyokong mereka tapi sebab termaktub dalam Konvensyen Geneva 1 1949 yang menyebut anggota tentera yang sakit atau cedera hendaklah dilayan dengan baik oleh pihak yang berkuasa. Mereka tidak boleh ditinggalkan tanpa bantuan rawatan.
“Perbincangan itu masih berlaku dan memerlukan persetujuan mereka juga untuk keluar ke Turki dan mendapatkan rawatan. Jika tidak, kita terpaksa aturkan rawatan di dalam...hospital-hospital yang kita ada di dalam. Malah ada sebuah hospital itu memang kita taja yang memang memberi rawatan kepada semua. Tidak kira pesakit itu pejuang atau orang awam. Kita juga tidak ada pilihan,” katanya.
Namun, Syahrir tidak menolak kemungkinan tindakan itu nanti akan mendapat persepsi negatif masyarakat sekeliling.
“Kita hanya memberi rawatan sahaja kepada mereka. dari sudut bantuan lain tiada. Hanya atas faktor kemanusiaan.
“Mungkin atas persepsi orang, kita tak patut buat begitu tapi dari sudut kemanusiaan, mereka juga orang yang memerlukan rawatan. Cuma kita tidak buat lagi...Cuma ada dalam perancangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui kesukaran dihadapi badan-badan yang mahu menghantar bantuan ke Syria selepas kewujudan militan IS.
“Kewujudan IS ini menjadikan proses penghantaran bantuan itu menjadi sukar. Inilah (misi bantuan kemanusiaan) jalan yang mereka (yang mahu menyertai IS) ambil...sangat mudah. Tapi itu dulu. Sekarang Turki agak tegas. Sebab apabila kita orang luar nak masuk Syria, pihak Turki akan kaji siapa kita, latar belakang kita.
“Kami pernah ditahan di satu ‘checkpoint’ yang dikawal pejuang kumpulan lain dan apabila mereka lihat kita orang luar, mereka anggap kita IS. Walaupun kita kata kita badan yang bawa bantuan kemanusiaan, dia akan kata, kami tak percaya, semua orang pun cakap begitu.
“Kalau mereka jumpa sebutir peluru pun, memang habislah akan ditembak semua. Ada yang bawa ‘powerbank’ dan mereka sangka itu bom sebab IS ini memang terkenal dengan bom bunuh diri. Itu yang antara buat kami sangkut,” katanya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment