Saturday 28 March 2015

Juruterbang 'sakit mental' saman Jetblue kerana cuai


Clayton Osbon, 52, memfailkan saman tiga hari selepas nahas pesawat Germanwings di banjaran Alps Perancis yang dikatakan berpunca daripada tindakan kurang siuman pembantu juruterbangnya.

NEW YORK: Seorang juruterbang JetBlue Airways Corp telah menyaman bekas majikannya sebanyak $14.9 juta (kira-kira RM55 juta) susulan kegagalan syarikat penerbangan itu menghalangnya daripada bertugas dan membahayakan nyawa penumpang tiga tahun lalu.

Clayton Osbon, 52, memfailkan saman tiga hari selepas nahas pesawat Germanwings di banjaran Alps Perancis yang dikatakan berpunca daripada tindakan ‘kurang siuman’ pembantu juruterbangnya, lapor Bloomberg.

Nahas pada Isnin itu telah meragut nyawa 150 penumpang dan kru termasuk pembantu juruterbang tersebut.

Dalam insiden tahun 2012, perlakuan tidak menentu Osbon telah menyebabkan sebuah pesawat dari New York ke Las Vegas kendaliannya terpaksa mendarat cemas di Texas.

Osbon mendakwa “serangan otak separa yang kompleks” yang dihidapinya menyebabkan dia berlari ke laluan penumpang dan menjerit tentang agama dan serangan pengganas sebelum berjaya direbahkan penumpang.

Menurutnya, kegagalan JetBlue menghalangnya sebelum penerbangan telah menyebabkan dia malu dengan masyarakat selain kehilangan karier dan reputasinya.

“Kegagalan JetBlue memastikan Kapten Osbon layak terbang walaupun ada jelas bahawa dia memerlukan nasihat perubatan,” menurut laporan yang difailkan pada Jumaat di Mahkamah Persekutuan Manhattan.

Osbon didapati tidak bersalah atas alasan kurang siuman dalam pertuduhan mengganggu kru penerbangan.

Seorang pakar psikologi berkata Osbon menderita “sakit mental yang teruk” ketika penerbangan itu.

- Sumber: Agensi

No comments:

Post a Comment