Saturday, 28 March 2015

Irfan perbaharui rekod lontar cakera

Atlet lempar cakera Negeri Sembilan Muhammad Irfan Shamsuddin bersama pingat emas yang berjaya diraihnya selepas memecahkan rekod kebangsaan dalam acara melempar cakera lelaki sempena Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Bukit Jalil hari ini.

JAGUH lontar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin bertekad mempertahankan pingat emas pada Sukan Sea Singapura Jun ini selepas mencipta rekod baharu kebangsaan dengan catatan balingan 58.04 meter pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-92 di Kuala Lumpur hari ini.

Muhammad Irfan, 20, beraksi cemerlang hari ini untuk mengatasi rekod peribadinya, 54.26m, yang dicipta pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-17 di Perlis Mei lalu.

Beliau berkata, walaupun menyasarkan emas pada kejohanan ini yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Stadium Nasional Bukit Jalil, namun beliau tidak menjangka mampu mencipta rekod baharu.

"Bangun pagi tadi saya dapat rasakan mampu melakukan yang terbaik dan saya mahu buat rekod tetapi saya tidak jangkakan untuk (cipta) rekod baharu yang sedemikian," katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan pingat.

Mengulas lanjut tentang prestasi cemerlangnya, Muhammad Irfan berkata kem latihan di Australia yang dikendalikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) pada awal bulan ini banyak memberi pengetahuan dan menjadi pemangkin semangat untuk dirinya terus mencapai kejayaan. 

"Banyak yang saya pelajari di sana terutamanya keyakinan untuk terus buat yang terbaik. Selain itu, pengarah teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Robert J. Ballard banyak mengajar untuk meningkatkan lagi prestasi saya," katanya.

Muhammad Irfan terus yakin untuk menjadi jaguh lempar cakera yang digeruni di rantau Asia Tenggara dengan menyasarkan balingan sejauh 60m pada temasya Sukan Sea Singapura dari 5 hingga 16 Jun ini.

Rekod sukan Sea buat masa ini dipegang oleh jaguh lempar cakera dari Singapura, Wong Tuck Yim, dengan balingan 59.50m pada temasya tahun 1999 di Brunei.

Pada kejohanan hari ini, Abdul Rahman Lee dari Sarawak meraih pingat perak dengan catatan 40.88 meter manakala Mohd Hafiz Hashim (Angkatan Tentera Malaysia) meraih pingat gangsa dengan balingan 40.62 meter.

Dalam pada itu, pelari pecut Mohd Izzuddin Yahya dari Perlis meraih emas pada kejohanan hari ini dengan catatan masa 10.51 saat, walaupun tidak dapat mencapai masa terbaik peribadinya 10.48s yang dicatatkan dalam peringkat separuh akhir semalam.

Nixson Kennedy dari Sarawak meraih tempat kedua dengan mencatatkan 10.62s manakala tempat ketiga disandang Harith Ammar Md Sobri dari Terengganu dengan masa 10.63s. 

- Sumber berita & foto: Bernama

No comments:

Post a Comment